SELEPAS kecoh berbalas kenyataan di media sosial sebelum ini, pelawak dan pelakon Shuk Sahar masih belum datang menjenguk anaknya yang lahir pada 26 Jun lalu.
Menurut isteri Shuk iaitu Fara Salleh, 33, suaminya itu juga seakan tiada usaha untuk menghubungi keluarga atau bertanya khabar keadaannya yang kini dalam tempoh berpantang.
"Langsung tak nampak batang hidung, entahlah saya sendiri tak tahu apa dalam fikiran dia.
"Ibu bapa saya tak pernah sekat nombor telefon dia. Nak seribu daya, kalau tidak seribu dalih," katanya ketika dihubungi mStar.
Fara reda dengan kehidupan sebagai ibu tunggal.
Berkongsi lanjut, Fara juga memberitahu dia sudah lama menjangka rumah tangga bersama Shuk akan berdepan masalah kerana berlaku salah faham antara mereka.
Malah dalam tempoh hamil anak pertama mereka, dia mendakwa Shuk seakan mengabaikan tanggungjawab seorang suami.
"Sebenarnya saya sudah jangka ini semua akan berlaku (berpisah) sebab dari awal pun dia memang macam tak suka bila saya hamil.
"Makan dan minum saya pun dah mula tak terjaga. Tiada apa-apa perubahan ke arah kebaikan untuk sambut cahaya mata kami, sebaliknya masalah rumah tangga ini makin besar," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Shuk Sahar dan isteri ‘perang’ di IG, Fara Salleh dakwa suami culas tanggungjawab
ARTIKEL BERKAITAN: Fara Salleh diminta bertenang elak meroyan, hanya luah rasa geram sijil kelahiran anak tak lengkap
Fara bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana mampu menguruskan sendiri anaknya iaitu Elaine Nada meskipun tiada sebarang bantuan daripada lelaki bergelar suami.
Malah, Fara juga memberitahu Nada seorang anak yang baik dan tidak banyak ragam.
"Alhamdulillah, Nada seorang anak yang sangat baik. Dari dia dalam perut lagi saya selalu usap dan beritahu selepas ini tinggal kehidupan kita berdua.
"Apa-apa jadi, Nada ada mommy (panggilan Fara). Setiap malam saya selalu pesan untuk anak saya jadi anak yang baik. Sayalah ibu dan bapa dia. Kami hanya ada satu sama lain," luahnya.
Fara melahirkan cahaya mata pertama pada 26 Jun lalu.
Fara sebelum ini menerusi beberapa hantaran di Instagram meluahkan rasa kesal terhadap Shuk yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang suami.
Bahkan urusan pendaftaran penikahan mereka yang belum selesai juga memberi kesan terhadap dokumen sijil kelahiran anak yang tertulis tiada maklumat bapa.
Untuk rekod, Farah mendirikan rumah tangga dengan Shuk pada November 2023 di Thailand.
Pada April lalu, Shuk didakwa melafazkan cerai terhadap Fara menerusi panggilan telefon.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube