ACARA All Star Influencer Award (ASIA) 2025 kembali untuk tahun ketiga dengan menampilkan 80 pencipta kandungan dari 20 negara Asia dan Timur Tengah pada Oktober depan.
Menurut penganjur Datuk Abd Rahman Soltan, peserta akan menjelajah ke lapan buah negeri di seluruh Malaysia bagi menyertai aktiviti penciptaan kandungan kreatif merangkumi keindahan, budaya dan keunikan destinasi pelancongan tempatan sebelum melangkah ke malam kemuncak.
“Setiap dua negeri akan menerima 20 pencipta kandungan dalam tempoh tertentu, di mana mereka akan terlibat dalam pelbagai eksplorasi daripada makanan tempatan, seni budaya, alam semula jadi hinggalah ke cabaran digital.
Abd Rahman (dua dari kanan) sebagai penganjur ASIA 2025.
"Perjalanan peserta akan bermula di Johor dan Pahang dari 20 hingga 25 Julai, diikuti Melaka dan Selangor pada 17 hingga 20 Ogos. Selepas itu, bergerak ke Pulau Pinang dan Langkawi antara 14 hingga 20 September, dan akhirnya ke Sabah dari 14 hingga 17 Oktober," katanya.
Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, ASIA 2025 turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertujuan untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan destinasi pelancongan negara kepada seluruh dunia.
“Ini adalah antara platform digital terbaik untuk terus memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan digital dan kreatif di rantau ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Karma itu wujud, Nabila Huda anggap influencer hina kerja seni kurang kasih sayang
ARTIKEL BERKAITAN: Aidid Marcello tegur influencer jaga adab buat ‘content’, kurang senang tonton video mohon maaf siap ketawa
"Gabungan pengaruh digital dan keunikan budaya tempatan dijangka meningkatkan lagi kesedaran global terhadap tarikan pelancongan Malaysia menjelang tahun 2026,” ujarnya.
Pemenang utama akan menerima wang tunai USD15,000 (RM64,000) bersama percutian eksklusif ke Dubai. Tempat kedua akan membawa pulang USD5,000 RM21,000) dan turut menikmati percutian ke Dubai, manakala tempat ketiga akan menerima USD1,000 (RM4,100) serta pakej percutian yang sama.
Selain itu, sepuluh peserta terbaik keseluruhan juga akan dipilih untuk menyertai program istimewa ditaja sepenuhnya ke Dubai sebagai pengiktirafan atas kandungan dan pengaruh hebat yang mereka hasilkan sepanjang program.
Majlis Gala Anugerah ASIA 2025 akan berlangsung pada 19 Oktober 2025 dimana lokasi majlis akan diumumkan dalam masa terdekat.
Untuk info, pempengaruh Indonesia, Saal Haerid mengungguli anugerah utama All Star Influencers Award (ASIA) 2024, sekaligus melakar sejarah dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM43,000, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube