TERUS komited dalam menyampaikan dakwah, kumpulan nasyid Rabbani tampil lebih kreatif untuk memikat hati orang ramai terutama golongan muda.
Biarpun begitu, mereka tidak mahu sebarang kandungan yang dimuat naik di media sosial boleh mengundang kontroversi termasuk video trend 'goyang bahu' seperti dikongsi sebelum ini.
Menurut ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, niat mereka hanya untuk menyampaikan dakwah dalam cara yang lebih santai dan mudah difahami.
“Kami sebenarnya sedar, cara penyampaian dakwah tradisional sekarang sudah kurang diminati terutama oleh golongan muda.
Rabbani ketika dalam video trend goyang bahu yang tular.
"Jadi kami cuba berikan kelainan dengan cara yang lebih santai dan bersahaja supaya mesej yang ingin disampaikan sampai dengan baik,” katanya kepada mStar.
Tambah Azadan, walaupun menyelitkan elemen jenaka dalam video tersebut, ia tidak bermakna mereka ambil mudah dalam usaha untuk menyampaikan dakwah.
Dalam masa sama mereka juga sedar setiap perkongsian pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.
“Kami harap netizen boleh terima pendekatan ini. Walaupun bawa mesej Islamik, lawak jenaka tetap ada.
ARTIKEL BERKAITAN: Belajar daripada kesilapan, penganjur jamin Konsert Intifada Rabbani lebih tersusun
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anggota kumpulan Rabbani mengaku pernah sertai Al-Arqam, berpecah selepas diharamkan
"Kami pun tak kisah apa pandangan netizen, yang penting niat kami hanya mahu sampaikan mesej positif dengan cara santai,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Asri Ubaidullah pula, dia menegaskan mereka tetap menjaga batas-batas pergaulan supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton.
Kata Asri, cabaran utama kini adalah untuk menarik minat masyarakat yang sudah jemu dengan ceramah agama yang formal dan terlalu serius.
“Selagi kita jaga ikhtilat dan pergaulan kami terbatas serta mesej yang mahu disampaikan sampai, kami rasa itu sudah memadai.
Rabbani cuba sampaikan dakwah cara santai.
“Sekarang ni, dalam media sosial orang dah kurang nak dengar ceramah yang panjang dan formal. Tapi kalau dalam seminit kita buat video santai yang ringkas dan jelas, mereka boleh faham dengan lebih baik.
"Jadi kami cuba sampaikan apa yang patut dengan cara mudah dan santai supaya dakwah lebih berkesan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Konsert Intifada Rabbani dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 September depan.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini menerusi platform Ticket2u dan Fantopia.io.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube