SEKALI lagi bakal tampil dengan album penuh bergenre tradisional, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka bekerjasama dengan ramai komposer yang mahu menyumbang karya mereka.
Biarpun statusnya sebagai seorang Biduanita Negara dan berpengalaman dalam industri, namun ia bukanlah satu batasan buat Siti untuk menerima karya pencipta baharu.
Bahkan menerusi kerjasama bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Siti sudah menerima lebih 50 buah karya baharu.
Siti terbuka bekerjasama dengan komposer baharu.
"Saya memang dapat banyak lagu baru untuk projek album itu. Selain komposer yang dikenali, saya juga bekerjasama dengan MACP untuk dapatkan lagu-lagu menerusi bengkel yang dijalankan.
"Rasanya saya sudah mendapat lebih 50 buah lagu irama tradisional," katanya kepada mStar.
Tambah Siti dia bersama syarikat pengurusan akan bersikap profesional untuk memilih karya terbaik dalam album berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Vokal Siti Nurhaliza padu, emosi setiap lagu sampai terus ke hati peminat
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kagum magis Ade Govinda, siap bawa makanan ketika rakaman
Siti dalam masa sama turut tegas untuk bekerjasama dengan pihak yang menunjukkan minat dalam penghasilan lagu baharu.
"Memanglah saya suka dapat banyak lagu, tapi pening juga hendak memilih lagu. Saya teliti setiap lagu yang diterima dan tidak boleh pilih kasih. Saya perlu memilih lagu yang benar-benar terbaik.
"Tak kiralah siapa pun penciptanya, tetap ada syarat. Mereka yang hantar perlulah lengkap dengan susuan lagu dan nada supaya saya boleh nampak gambaran jalan cerita," jelasnya.
Siti mahu terus martabatkan genre tradisional.
Album tersebut dijangka bakal disiapkan sebelum penghujung tahun ini. .
Tambah penyanyi ini usaha penghasilan album tradisional ini juga sebagai langkah untuk terus mengekalkan warisan muzik tanah air.
Biarpun perubahan genre mengikut peredaran masa, namun dia percaya karya sebegini akan terus mendapat sambutan ramai.
"Ini adalah warisan dan khazanah kita. Semoga ia akan jadi peneman anak-anak muda," luahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube