PENYANYI Hafiz Suip sudah bersedia untuk berkongsi rasa dengan peminat menerusi konsert solonya iaitu Di Sebalik Aku: Hafiz Suip yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 1 November depan.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, ramai yang ingin tahu keadaan dirinya selepas sekian lama berehat daripada industri seni kerana berdepan dengan masalah peribadi.
"Saya faham ramai yang ambil berat, mereka (netizen) tertanya-tanya bukan mahu menyibuk. Selama ini saya berfikir mereka hanya nak menyibuk tetapi saya terlepas satu perkara baik kerana kadang-kadang orang hanya mahu ambil peduli.
Hafiz ingin berkongsi emosi bersama peminat di malam konsert.
"Bila ada lagi orang ambil perhatian, saya rasa sangat bersyukur berbanding tiada yang mahu ambil peduli fasal kita.
"Itu yang membuatkan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berkongsi sedikit sebanyak apa yang berlaku kepada diri saya," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia ingin membawa peminat menyelusuri perjalanan hidupnya menerusi lagu-lagu yang bakal dibawa pada malam konsert.
ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip, Nureffy Jasreel sah cerai talak satu
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi persefahaman, Hafiz Suip tak nampak jalan kembali bersama bekas isteri
Pun begitu, penyanyi kelahiran Sarawak ini menjelaskan dia bukan mahu membuka aib namun hanya mahu berkongsi cerita dan emosi sepanjang konsert berlangsung.
"Konsert kali ini bukannya mahu berkongsi keaiban, minta simpati atau belas kasihan tetapi saya hanya mahu bercerita kerana selama ini ramai peminat yang bertanya apa terjadi kepada saya.
"Bukan saya mahu bercerita secara berlebih-lebihan, ia hanya sekadar memberitahu saya masih di sini (industri seni). Saya ingin berkongsi kepada peminat-peminat semua.
"Bila ada lagi orang ambil perhatian, saya rasa sangat bersyukur berbanding tiada yang mahu ambil peduli fasal kita.
HAFIZ SUIP
PENYANYI
"Pada malam konsert itu nanti saya akan menyanyikan lagu-lagu hit saya, dan apa yang saya boleh pastikan saya mahu kongsikan memori dan menyanyi bersama peminat," ujarnya.
Dianjurkan oleh SAH Entertainment, pengarah urusan Sufi Rashid berkata, konsert ini membawa nilai yang cukup mendalam dan istimewa kerana ia merupakan satu titik perubahan dalam karier Hafiz.
"Konsert ini menjadi satu sumber rezeki besar dan motivasi untuk Hafiz bekerja lebih keras. Muzik adalah perkara sangat dekat dihatinya.
"Jika dilihat daripada segi katalog lagu, Hafiz memiliki jumlah lagu hit yang sangat banyak pada usia muda berbanding ramai penyanyi lain.
Tiket konsert sudah mula dijual.
"Setiap lagu mempunyai makna tersendiri dan dekat dengan peminat. Ia juga sebagai penghargaan kepada penyokong setia Hafiz sejak awal pembabitannya dalam industri," katanya.
Penjualan tiket sudah pun dibuka pada 29 Julai lalu menerusi laman web Ticketmelon.
Harga tiket dijual bermula RM188 sehingga RM788.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube