PENYANYI Farez Adnan terpaksa menangguhkan hasratnya untuk membuat pembedahan hidung di Korea Selatan disebabkan masalah cuaca yang tidak menentu.
Kata Farez atau Muhd Fareezuan Adnan, 30, dia juga perlu mendapatkan restu ibunya sebelum membuat pembedahan yang dianggarkan bernilai RM32,000 itu.
"Saya memang nak buat tapi mungkin akan datang semula pada November nanti. Lagipun kena duduk dua minggu dan sekarang cuaca panas tak sesuai untuk pemulihan.
Farez sempat buat rawatan kecantikan di Korea Selatan.
"Saya datang pun tak rancang, semuanya pada saat-saat akhir, doktor pun tak ada lagi. Jadi saya datang untuk rundingan terlebih dahulu.
"Lagipun saya kena balik Malaysia dulu sebab ibu tak bercakap dengan saya. Dia tak bagi lakukan pembedahan. Jadi saya perlu pujuk dia dulu," katanya ketika dihubungi mStar.
Pun begitu, dia turut mengambil kesempatan untuk membuat beberapa rawatan kecantikan di negara itu memandangkan sudah berada di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Farez Adnan tiada lagi gaji tetap, nekad berhenti kerja demi fokus kerjaya seni
ARTIKEL BERKAITAN: Farez Adnan jadi saksi suka duka, lagu ‘Air Titik ke Batu’ jawapan kisah Mas Idayu
Tambahnya, dia lebih selesa bersikap jujur kerana enggan menimbulkan pelbagai spekulasi tidak enak dalam kalangan peminat.
"Tapi sekarang saya buat rawatan Vshape dulu dengan buang garis halus, rugi pula datang jauh-juah tak buat apa-apa.
"Lebih baik jujur daripada orang lain tengok lain terus," katanya lagi.
Bukan perlu segera sangat pun cuma saya yang mengada-ngada.
FAREZ ADNAN
PENYANYI
Menurut Farez, pembedahan hidung itu perlu dilakukan memandangkan dia menghidap Chronic Sinusitis with Nasal Polyps sejak daripada zaman persekolahan.
Jelasnya, dia juga memilih untuk tidak menggunakan silikon agar memudahkan urusan sekiranya dia meninggal dunia kelak.
"Sebenarnya saya mengidap sinus kronik dengan polip hidung, tapi alang-alang itu saya buat hidung terus guna tulang rusuk kalau meninggal tak perlu buka.
Farez sudah lama mengalami masalah sinus.
"Saya memang ada sinus dari zaman sekolah dan kerap sangat bersin sampai pening. Tapi bukan perlu segera sangat pun cuma saya yang mengada-ngada," kongsinya.
Dalam pada itu, Farez turut meluahkan rasa kebimbangan sekiranya pembedahan tersebut akan memberi kesan kepada suara dan rupa parasnya.
"Risau juga suara jadi lain nanti, itu yang saya tanya betul-betul sebelum bersetuju. Tapi saya lakukan ini untuk peluang yang lebih besar," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube