suria

[V] Diserang strok lepas makan tujuh biji durian, Dino Nico G kini hilang punca pendapatan

ANGGOTA kumpulan Nico G, Dino, tabah menghadapi dugaan selepas diserang angin ahmar yang menjejaskan bahagian kanan badannya sejak sebulan lalu.

Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli, 50, berkata, dia tidak menolak faktor pemakanan menjadi punca masalah kesihatan tersebut. 

Cerita Dino, sebelum kejadian dia sempat menikmati tujuh biji durian seorang diri sehari sebelum rebah ketika sedang bekerja.

Dino sangat gemar makan durian.

“Durian memang kegemaran saya, setiap kali musim mesti saya akan makan. Saya tak tolak kemungkinan faktor pemakanan jadi punca saya terkena serangan ini. Mungkin juga sebab makan benda-benda manis.

“Sehari sebelum kejadian, saya makan tujuh biji durian kampung. Esok paginya, terus jadi macam ini. Masa bercakap dengan doktor pun, mulut masih berbau durian,” katanya kepada mStar.

Tambahnya lagi, dia juga merupakan perokok tegar sejak muda. 

Dino berkongsi kisah tersebut ketika menerima kunjungan menerusi Program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang diadakan di kediamannya di Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: "Muzik Hip Hop Kami Masih Relevan" - Nico G

ARTIKEL BERKAITAN: Trio Nico G Berjuang Angkat Muzik Hip-Hop

Dalam kunjungan tersebut, turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi iaitu Teo Nie Ching; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.

Dia yang kini menetap bersama bapa saudaranya mengakui berdepan kesukaran daripada segi kewangan kerana tidak dapat bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah.

Menurut Dino, dia memerlukan rawatan susulan sebanyak dua minggu sekali di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selain turut mendapatkan rawatan tradisional yang menelan kos sekitar RM200 bagi setiap sesi urutan.

“Buat masa ini, majikan beri saya cuti sehingga benar-benar pulih. Sebelum ini, dia ada bantu saya dengan sumbangan RM500.

Sehari sebelum kejadian, saya makan tujuh biji durian kampung.

DINO NICO G

PENYANYI

“Tapi selepas sebulan, saya memang sudah tiada pendapatan. Sebab itu saya minta bantuan,” ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi terus komited membantu artis veteran memerlukan termasuk mereka yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan.

Menurut Teo Nie Ching,  melalui inisiatif khas itu, pihak Kementerian Komunikasi dan Finas termasuk beberapa agensi lain sudah meggerakkan usaha menyalurkan sumbangan kepada 61 penggiat seni memerlukan sejak awal 2024 hingga 31 Julai lalu.

Dino (dua dari kiri) ketika Program Ziarah Seni Madani.

“Program Ziarah Seni Madani ini di bawah Finas yang bertujuan untuk sampaikan sedikit bantuan kepada artis veteran atau mana-mana artis yang menghadapi kecemasan. 

“Sebenarnya dana ini bukan datang daripada Finas atau Kementerian Komunikasi sahaja, tetapi ini juga kerjasama dengan beberapa pihak untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kecemasan,” kongsinya.

Selain Dino, Nie Ching sempat menziarahi pelawak veteran Sathia, 61, selepas tiga jari kaki kanannya terpaksa dipotong kerana masalah diabetis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain