suria

Sathia tetap ceria lepas hilang tiga jari kaki, masih gigih berlakon walaupun berkerusi roda

Sathiya tetap berfikiran positif walaupun dilanda masalah kesihatan.

PELAWAK veteran, Sathia Periasamy kekal ceria dan positif selepas menjalani pembedahan memotong tiga jari kaki kanan akibat jangkitan kuman berpunca daripada penyakit kencing manis kronik pada 31 Julai lalu di Hospital Ampang, Selangor.

Mengulas mengenai keadaannya, Sathia berkata dia reda dengan ujian tersebut dan menganggap masalah kesihatan adalah lumrah hidup yang perlu ditempuhi oleh setiap insan.

"Tak guna bersedih dan saya tak nak bersedih. Kalau saya akan mati pun, saya nak gembira juga. Happy dan enjoy.

Sathia ketika Program Ziarah Madani.

"Saya pun tidak pernah sedih, sentiasa gembira. Malah, saya sudah pesan pada isteri dan anak, kalau saya mati barulah menangis,” katanya kepada mStar.

Sathia berkongsi perkara tersebut ketika menerima kunjungan dalam Program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang berlangsung di Hospital Ampang pada Isnin.

Turut hadir pada kunjugan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Saifuddin Mutalib serta Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Dalam kunjungan tersebut, dia menerima sumbangan wang tunai daripada Finas dan bakul makanan daripada Kementerian Komunikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sathia tenang bakal hilang ibu jari kaki, jalani pembedahan malam ini… “Jangan risau saya masih hidup lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu jari kaki Sathia terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman

Walaupun berdepan ujian kesihatan, Sathia masih menerima tawaran berlakon dan kini menjalani penggambaran sambil menggunakan kerusi roda.

Malah dia juga bersyukur menerima bantuan kewangan daripada rakan-rakan yang prihatin dengan keadaannya.

"Saya faham keadaan orang lain, termasuk rakan-rakan artis. Mereka juga tentu ada masalah sendiri. Kalau dapat jumpa, jumpalah. Kalau tidak, saya faham.

"Macam saya kata, saya hanya mahu bergembira sahaja," luahnya.

Sathiya masih sedang dirawat di hospital.

Sementara itu, anaknya, Amani, 36, memaklumkan Sathia diserang angin ahmar pada Ogos tahun lalu dan pada masa sama turut disahkan menghidap kencing manis.

Jelasnya, pembedahan memotong tiga jari perlu dilakukan untuk memcegah kuman merebak ke bahagian lain.

"Bapa saya bukan sahaja diserang strok, tetapi turut menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan jangkitan kuman.

"Doktor menasihatkan agar tiga jari kaki yang dijangkiti dipotong untuk mengelakkan kuman merebak ke bahagian lain," kongsinya. 

Pada tahun lalu, Sathia juga pernah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas diserang angin ahmar hingga menyebabkan pergerakannya menjadi agak terbatas selain disahkan menghidap darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain