SELEPAS hampir empat dekad mewarnai dunia seni tanah air dan antarabangsa, penyanyi Datuk Aishah menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaharunya berjudul Taman Keabadian.
Lagu yang menceritakan mengenai kehilangan, kerinduan dan pertemuan semula itu sarat dengan emosi ciptaan komposer, Senna.
Menurut Aishah, Taman Keabadian menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan tersayang sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi menghadap Ilahi.
"Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak.... Sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoa dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana, di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian.
Taman Keabadian bakal dilancarkan Jumaat ini.
"Jadi saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pergi buat selama-lamanya. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,"katanya.
Dikenali ramai menerusi lagu Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, Bahtera Merdeka, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, Aishah bersyukur apabila pembabitannya kekal relevan selain lagunya terus dinyanyikan oleh generasi baharu.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya.
"Justeru saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aishah nasihat jangan kecam penyanyi buat persembahan kurang baik... Belanja peminat nyanyi lagu Fazura
ARTIKEL BERKAITAN: Enggan lagi sertai sebarang pertandingan di Malaysia... Aishah pernah disantau, perut membusung
Dalam pada itu, Senna selaku komposer berkata, proses menghasilkan lagu Taman Keabadian sangat peribadi dan istimewa.
“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual.
Saya yakin hanya datuk Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” katanya.
Single Taman Keabadian boleh didengari di semua digital platform bermula Jumaat ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube