PELAKON Farahdhiya mendedahkan pernah menjadi mangsa buli ketika berusia 13 tahun hanya kerana dirinya merupakan pelajar baharu.
Farahdhiya atau Nur Farahdhiya Mohd Amin, 41, berkata namanya sering diconteng bersama perkataan jelik di dinding sekitar kawasan sekolah sehingga mendapat perhatian guru.
Katanya lagi, dia bagaimanapun hanya mampu berdiam diri dan bersabar kerana memikirkan masih baharu di sekolah berkenaan.
"Nama saya penuh diconteng di dinding tandas, makmal serta dapat surat ugutan. Sampai cikgu tanya kenapa nama saya penuh dekat meja makmal.
Perkongsian Farahdhiya yang dimuat naik di Threads.
"Saya beritahu saya tak tahu sebab saya tak kenal pun pelajar lain memandangkan budak baru. Mereka tulis nama seperti Faradhiya menggelabah, Farahdhiya bab*, Farahdhiya gedik, Faradhiya poyo dan macam-macam lagi.
"Bila waktu rehat siap kena baling batu, balik dari makmal siap ada surat atas meja ugut macam-macam. Disebabkan saya budak baru, saya senyap dan tahan," katanya.
Farahdhiya berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya.
Tidak tahan apabila kumpulan pembuli itu mula membuat sentuhan fizikal, Farahdhiya bertindak mempertahankan diri dengan memukul dan menendang individu terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan main rembat” - Farahdhiya serah soal jodoh ditangan Allah, kagum wanita mampu berdikari tanpa lelaki
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Melampau! Farahdhiya bengang, menangis tengok foto arwah bapa disunting... “Gambar itu tak boleh diterima akal”
"Banyak kali masa rehat mereka datang dalam kumpulan nak cari fasal, saya memang tunggu sahaja mereka sentuh saya dulu sebab selama ini cuma gertak tapi tak sampai naik tangan.
"Tapi ada satu hari memang impian saya jadi kenyataan. Salah seorang daripada mereka sentuh saya dan saya pun automatik dengan baju kurung yang dipakai mula pukul dan tendang belakang dia.
"Nak dijadikan cerita seorang tergolek, lagi seorang macam nak tolong cucuk saya dengan pen tapi kena dekat tangan saja," ujarnya.
Selepas insiden tersebut, penyanyi berkenaan tidak lagi menjadi mangsa buli dan pembuli itu sudah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak sekolah.
"Selepas kejadian itu, kumpulan lain yang selalu buli saya datang buat baik, ada yang minta maaf dan ada yang minta tolong saya belasahkan orang yang mereka tak puas hati.
"Tapi saya bukan kaki pukul orang, saya hanya lakukan itu untuk melindungi diri sendiri. Lepas daripada itu memang dah tak ada yang berani kacau saya.
"Fasal pergaduhan itulah, masing-masing kena panggil dengan guru besar dan nak kena gantung sekolah. Tak ke bodoh punya kerja," jelasnya.
Faradhiya menasihati pelajar untuk tidak melakukan gejala buli.
Sementara itu, Farahdhiya turut menasihatkan kepada pelajar-pelajar sekolah agar tidak menjadi pembuli kerana ia hanya akan memberi kesan negatif pada diri sendiri.
"Sebab itu adik-adik tak perlu nak berlagak gangster. Mak ayah hantar pergi sekolah untuk timba ilmu, ambil peluang ini untuk buat mereka bangga selain untuk masa depan awak juga.
"Tak ke mana pun perangai kaki buli itu, tak mendatangkan faedah. Jagalah nama baik keluarga. Kita ini hidup bukan seorang diri, kita ada keluarga.
"Jangan kerana perangai awak, mak ayah yang dapat malu nanti. Kasihan mak ayah tak bersalah, penat mereka cari duit jaga awak daripada kecil semata-mata nak tengok awak berjaya," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube