SUSULAN foto bersama aktres Diana Danielle yang dimuat naik di Instagram tular hingga mengundang persoalan ramai, penyampai radio Fazziq Muqris menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar kawan biasa.
Fazziq atau nama sebenarnya Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, 25, berkata meskipun ramai warganet cuba 'kenenkan' dia dengan pelakon itu, namun dia menganggap hubungan yang terjalin seperti kakak dan adik.
“Setiap orang berhak memberi pendapat mereka dan saya tak boleh nak cakap apa-apa.
“Cuma saya ingin jelaskan hubungan saya dengan Diana tidak lebih daripada kawan. Dia juga ibarat kakak kepada saya. Kami kalau borak pun macam kakak dan adik, tidak lebih daripada itu,” katanya kepada mStar.
Fazziq mengakui meminati Diana sejak zaman persekolahan.
Nama Fazziq sebelum ini menjadi perhatian warganet selepas dia berkongsi foto bersama Diana di Instagram ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 (KLFW) sehingga ada yang mendakwa mereka sebagai pasangan serasi selain memiliki wajah seiras.
Mengulas hal itu, Fazziq mengakui dirinya memang meminati pelakon tersebut sejak zaman persekolahan dan berasa cukup teruja apabila dapat bertemu dengan Diana buat kali pertama pada 2014.
“Sejujurnya apabila netizen mengatakan kami sepadan dan memiliki wajah seiras saya terus terbayang alangkah seronok jika kami dapat bekerjasama dalam satu set penggambaran drama.
“Saya memang minat Diana sejak zaman persekolahan lagi. Kali pertama saya jumpa Diana adalah pada 2014. Rasa gembira dapat bertemu dengan seseorang yang kita idolakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya kurangkan berat badan, Fazziq Muqris kongsi tip hilang 11kg... Paling penting kena disiplin ikut rutin
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita misteri ‘call’ radio mengilai minta tolong... Fazziq Muqris tak buat gimik, satu konti meremang
“Diana boleh dianggap sebagai ‘girl crush’ dalam industri. Alhamdulillah kami dapat berjumpa lagi dan sekarang sudah jadi kawan,” katanya.
Ditanya soal jodoh, Fazziq terbuka jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan wanita lebih berusia.
“Soal jodoh ini rahsia Allah, saya tak tahu apa yang bakal terjadi.
“Jadi saya tak berani nak cakap okey atau tidak kalau ditakdirkan dengan wanita lebih berusia.
"Bagi saya, kalau hubungan itu sudah serasi, saya okey saja. Jika sebaliknya kita ‘move on’,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube