suria

PM singgah kedai ayam goreng Amir Raja Lawak, kongsi kata semangat dan beri sumbangan wang tunai

Amir bersyukur dapat berjumpa dengan Anwar.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu pelawak, Amir Raja Lawak di kedai ayam goreng miliknya di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada petang Sabtu.

Anwar yang tiba sekitar jam 4 petang bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud disambut mesra Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 36.

Kunjungan itu diadakan sehari selepas Amir memuat naik hantaran di Facebook berharap Perdana Menteri singgah ke premisnya.

Amir ketika bersembang dengan Anwar.

Berkongsi detik pertemuan itu, Amir berkata Anwar sempat bertanyakan khabar bapanya yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas menjalani pembedahan kali kedua akibat kanser usus.

Malah, menurut Amir, Perdana Menteri itu turut memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

“PM kata saya perlu sabar… Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja. Kehadiran beliau bersama Menteri Besar memberi semangat untuk saya terus kuat menghadapi cabaran hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Amir Raja Lawak perlu jalani pembedahan kedua, sempat kongsi nasihat sebelum jumpa Perdana Menteri

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mamat Sepah dah terima RM20,000 selepas setahun beri muka, pelik rakan lain belum dapat baki bayaran

“Saya juga menerima sumbangan kewangan daripada kedua-dua pemimpin ini dan akan menggunakannya untuk membantu keluarga, termasuk membeli ubat-ubatan bapa,” katanya.

Sebelum ini, Amir menjadi perhatian apabila menuntut baki bayaran RM18,000 daripada Awesome TV yang didakwa tertunggak hampir tiga tahun.

Pelawak itu menegaskan mahu bayaran penuh tanpa potongan atau ansuran kerana memerlukan dana segera bagi menampung kos rawatan bapanya.

Anwar beri kata-kata semangat buat Amir.

Selain Amir, pelawak Mamak Puteh, Abu Mamu dan Ammar Titan turut mendakwa berdepan isu tunggakan bayaran daripada stesen televisyen sama.

Bagaimanapun, susulan kenyataan tersebut, pihak Awesome TV memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Amir, Mamak dan Abu atas dakwaan mencemarkan nama baik stesen itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain