PENYANYI Syamel menjadikan aktiviti bersukan sebagai rutin utama mengekalkan kesihatan dan kecergasan diri.
Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, berkata, dia sangat gemar bermain futsal dan kini mula jatuh cinta dengan sukan pickle ball yang semakin popular dalam kalangan anak muda.
“Cara saya jaga badan dengan bersukan. Selalunya saya main futsal tapi sekarang dah gian main sukan pickle ball.
Syamel aktif bersukan sebelum kahwin lagi.
“Saya seronok lakukan perkara itu kerana aktiviti saya penuh dengan perkara sihat.
“Mungkin ada yang kata saya banyak masa kerana kerja saya fleksibel tapi sebenarnya ikut pada diri sendiri untuk cari masa bersukan,” katanya kepada mStar.
Menurut Syamel, walaupun sudah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Ernie Zakri, dia tetap dapat meneruskan rutin bersukan seperti biasa tanpa sebarang halangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Syamel dan Ernie Zakri tiada rahsia, saling kongsi cerita elak timbul salah faham
ARTIKEL BERKAITAN: Malam raya Ernie Zakri dan Syamel di hospital, teman bapa di wad sebelum balik kampung
Malah katanya, sokongan daripada Ernie juga memudahkan dirinya untuk terus aktif melakukan perkara yang diminati.
“Tips dia satu sahaja, jangan masa bercinta kita tak buat perkara yang kita suka.
“Masa bercinta dulu saya dah pesan dekat Ernie saya suka main futsal dan setiap minggu akan ada aktiviti itu. Jadi perkara itu sudah sebati dengan dia sampai sekarang.
Ernie sentiasa izinkan Syamel keluar bersukan bersama rakan-rakannya.
“Memang Ernie faham saya punya rutin sejak dulu hingga sekarang, sama seperti rutin dia beli beg,” ujarnya berseloroh.
Untuk rekod, Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia tiga tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube