SUDAH dua tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Bunga Isme dan suami iaitu Amzar Sabri masih belum merancang untuk menimang cahaya mata kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni.
Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 25, berkata, dia dan suami mahu memberi kesenangan buat cahaya mata sekiranya dikurniakan rezeki zuriat kelak.
Malah Bunga juga menyimpan hasrat untuk menguruskan anak sendiri apabila bergelar ibu.
Bunga (kiri) dan Amzar bernikah pada 2023.
"Saya teringin nak ada anak. Anak buah saya pun ada 24 orang, itu sebelah emak saja. Memang dah terbiasa dengan budak-budak dari bayi sampailah mereka dewasa.
"Cumanya saya belum bersedia untuk sediakan sokongan mantap dan padu untuk anak-anak. Bukan saja anak itu rezeki, tetapi anak itu juga sebagai amanah untuk kita jaga.
"Pendidikan, kewangan, makan dan minum mereka (anak-anak), itu yang menjadi fokus saya. Kalau saya sudah melakukan sehabis baik dengan karier ini, saya memang mahu ada anak dan menjaga mereka," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Bunga Isme pernah terfikir berhenti menyanyi, tertekan dua kali gagal dalam pengajian
ARTIKEL BERKAITAN: Kehidupan masih sama selepas kahwin, Bunga Isme lebih selesa tidak terlalu berkongsi kisah rumah tangga
Biarpun begitu, Bunga tidak menolak jika dirinya hamil kerana sentiasa percaya bahawa itu juga merupakan rezeki kurniaan Tuhan.
"Perancangan kami (suami isteri) memang lambat lagi. Kalau ada rezeki dan peraturan Allah tahun ini ada anak, kami terima.
"Bagi saya, kita hanya mampu merancang. Kita merancang untuk apa yang kita nak fokus sekarang (kerjaya) kerana nanti apa yang kami buat sekarang ini adalah untuk anak juga nanti," ujarnya.
Saya belum bersedia untuk sediakan sokongan mantap dan padu untuk anak-anak.
BUNGA ISME
PENYANYI
Untuk rekod, Bunga mendirikan rumah tangga dengan Amzar pada 2023.
Kata Bunga, dia menganggap pernikahannya itu adalah ketentuan dan rezeki selepas menamatkan pengajian di universiti.
Dalam perkembangan lain, Bunga kini muncul dengan album pertama berjudul Seharum Nama yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu.
Menurut Bunga, album yang mengandungi 10 buah lagu ini merupakan sebuah transisi kepada perjalanan seninya sejak 2019.
Bunga muncul dengan album pertama berjudul Seharum Nama.
"Alhamdulillah akhirnya kerja keras dan penat lelah terbayar dengan kelahiran album pertama saya. 'Seharum Nama - Bunga' bukan sekadar tanda mata tetapi sebenarnya adalah manifestasi saya terhadap muzik.
“Apa yang dipersembahkan di dalam album ini adalah perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus. Semuanya dilakukan secara cermat, pilihan karya dibuat juga secara hati-hati agar memuaskan hati semua pendengar,” katanya.
Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut termasuk Tak Tidur Malam, Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (duet Noraniza Idris) dan Apadehal.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube