PESERTA Didie Shazry diumumkan sebagai juara Raise The Star Malaysia (RTSM) yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada malam Ahad.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Didie membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bersama sebuah trofi.
Didie berjaya menewaskan sembilan lagi peserta lain menerusi lagu Melompat Lebih Tinggi nyanyian Sheila On 7 dan single baharu ciptaan penyanyi Aina Abdul berjudul Peganglah Hati.
Menerusi persembahan di segmen The Grand Encore yang menampilkan lima peserta teratas, Aina turut tampil bermain piano mengiringi nyanyian Didie.
Didie memberi persembahan bertenaga dalam dua segmen nyanyian.
Sementara itu, Zuana diumumkan sebagai naib juara yang membawa hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.
Tempat ketiga dimenangi Rayme yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.
Tempat keempat dimenangi oleh Hariz Fayahet manakala Keka ditempat kelima, masing-masing membawa pulang wang tunai RM 5,000 berserta trofi.
Semua pemenang The Grand Encore akan mendapat sebuah single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment.
ARTIKEL BERKAITAN: 8 peserta ‘Raise The Star Malaysia’ pulang awal, gagal mara ke minggu seterusnya
ARTIKEL BERKAITAN: Pasya impi lagu hits bantu lonjak nama, mahu tinggalkan dunia busking
Selain lima pemenang The Grand Encore, lima lagi peserta bersaing pada malam akhir termasuk Sharee Lopes, Zury, Pasya, Aril Eles dan Aliff Amie.
Bagi kategori Gempak Star On Fire dimenangi oleh Zury yang mendapat undian tertinggi daripada peminat, manakala Umobile Unbeatable Star menjadi milik Pasya yang membawa hadiah wang tunai RM5,000.
Penjurian Raise The Star Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan komposer (juri) dan undian peminat.
Peserta akan diadili oleh komposer dengan markah penjurian sebanyak 80 peratus manakala undian peminat pula 20 peratus.
Perserta akhir RTSM, Hariz (dari kiri) Keka, Didie, Rayme dan Zuana.
Program Raise The Star Malaysia menyaksikan lima komposer terkenal bergabung dalam mencari lima pelapis baharu untuk mempersembahankan lagu hasil gubahan mereka di pentas akhir.
Kelima-lima komposer itu adalah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatana yang akan menggunakan pengalaman dan kreativiti mereka sepanjang penglibatan mencari bakat baharu.
Dihoskan oleh pengacara Alif Satar dan Sherry Alhadad, Raise The Star Malaysia bersiaran secara langsung di Astro Ria (saluran 104) pada Ahad, pukul 9 malam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube