suria

Jarang jumpa sebab sibuk bekerja, tapi suami masih pulang jenguk Nora Ariffin

Nora dan Rushdi masih lagi berhubung antara satu sama lain.

PENYANYI Datuk Nora Ariffin tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling kira-kira pukul 9 pagi Isnin bagi menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan kes perceraian dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli.

Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, hadir ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin yang juga bertindak sebagai wakilnya dalam proses tersebut.

Mengulas mengenai sesi itu, Nora berkata dia menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada mahkamah dan berharap yang terbaik buat kedua-dua pihak.

Nora hanya menyerahkan segala keputusan kepada mahkamah. 

“Saya minta yang terbaik sebab kami sudah berbincang. Kita berserah kepada pihak mahkamah… apa sahaja keputusan, saya terima,” katanya kepada mStar.

Bercerita tentang hubungan dengan suami, Nora memberitahu mereka masih berhubung walaupun sedang berdepan kemelut rumah tangga.

Menurutnya, kesibukan kerja masing-masing juga tidak menghalang Rushdi untuk pulang ke rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Ariffin akhirnya tuntut cerai

ARTIKEL BERKAITAN: Sedar kelemahan sendiri, Nora Ariffin spontan luah seronok suami tak mahu cerai

“Hubungan saya dengan suami macam biasa, cuma kami masing-masing sibuk.

“Kami tidak bermusuh, tetapi tahu keadaan sebenar. Teman itu tiada tetapi masih bertanya khabar. 

“Dia masih balik dan menjenguk rumah sebab kami masih ada ikatan,” jelasnya.

Kami tidak bermusuh, tetapi tahu keadaan sebenar.

NORA ARIFFIN

PENYANYI

Sebelum ini, Nora melantik Rafeah sebagai wakil JKP manakala Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar untuk mewakili pihaknya.

Krisis rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian umum sejak 12 Ogos tahun lalu selepas Nora memuat naik video yang memaparkan suaminya melafazkan cerai terhadapnya.

Akibat terlalu banyak memendam rasa, Nora memfailkan permohonan cerai pada 21 April lalu.

Nora mohon cerai terhadap Rushdi pada April lalu. 

Untuk rekod, Nora mengesahkan telah mendirikan rumah tangga dengan Dr Rushdi pada penghujung 2021.

Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan komposer Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. 

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain