JUARA program realiti Raise The Star Malaysia Didie Shazry berhasrat untuk berkongsi separuh daripada wang kemenangan bersama kakak sulungnya iaitu Asniza Norsita.
Didie, 23, memberitahu Asniza, 33, banyak berkorban menjaga adik-adiknya selepas ibu bapa mereka bercerai sewaktu dia berusia sembilan tahun.
Kata Didie, kakak sulungnya itu juga sanggup berhenti sekolah sewaktu di tingkatan empat kerana mahu memberi keutamaan kepada persekolahan adik-beradik lain memandangkan mereka tidak berkemampuan.
"Separuh daripada wang kemenangan saya akan beri kepada kakak saya dan selebihnya saya akan menggunakan untuk berkarya.
Didie menghargai pengorbanan kakak yang sudah membesarkannya.
"Saya merasakan kakak memang selayaknya mendapatkan wang kemenangan ini. Ceritanya dulu sewaktu umur sembilan tahun, ibu bapa saya bercerai. Masing-masing bawa haluan sendiri.
"Kakak baru berusia 16 tahun sanggup berhenti sekolah sebagai pengorbanan supaya adik-adik yang lain dapat bersekolah," katanya kepada mStar.
Didie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pentas akhir Raise The Star Malaysia yang diadakan di Royal Theatre Shah Alam pada malam Ahad.
Tambahnya, Asniza sanggup datang dari Sabah untuk memberi sokongan dan menonton sendiri persembahannya di program realiti hiburan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Didie Shazry juara Raise The Star Malaysia, pertaruh single baharu karya Aina Abdul
ARTIKEL BERKAITAN: Juara Kilauan Emas 2024 mahu guna wang kemenangan RM30,000 bayar hutang, baru tenang hati tunai umrah
"Saya sebelum ini tidak memberitahu dia apabila mahu membahagikan wang kemenangan bersama. Ini merupakan satu kejutan buat kakak.
"Saya memang sudah berniat mahu berkongsi wang kemenangan ini. Dia memang layak mendapatkan apa yang saya terima ini (hadiah wang tunai).
"Pada malam ini (Ahad), kakak hadir melihat saya di pentas akhir. Di minggu separuh akhir pun dia sanggup datang dari Sabah untuk lihat saya membuat persembahan," ujarnya.
Kakak baru berusia 16 tahun sanggup berhenti sekolah sebagai pengorbanan untuk kami adik-beradik.
DIDIE SHAZRY
JUARA RAISE THE STAR MALAYSIA
Bercerita lanjut tentang perjalanan yang dilalui sewaktu kecil, Didie memberitahu dia pernah dijaga oleh keluarga angkat sehingga umurnya mencecah 16 tahun.
Pun begitu, selepas bapa angkatnya itu meninggal dunia, Didie menetap semula dengan Asniza sehinggalah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak.
"Saya tinggal dengan kakak sejak usia 9 hingga 12 tahun. Selepas itu saya diambil sebagai anak angkat oleh arwah abah angkat saya dan dialah yang banyak mengajar saya tentang muzik.
Didie merupakan juara pertama Raise The Star Malaysia.
"Saya hidup dengan keluarga angkat sampai tingkatan empat kerana bapa angkat meninggal dunia dan kemudiannya tinggal semula dengan kakak," katanya.
Pada Ahad, Didie diumumkan sebagai juara Raise The Star Malaysia (RTSM) sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bersama sebuah trofi.
Didie berjaya menewaskan sembilan lagi peserta lain menerusi lagu Melompat Lebih Tinggi nyanyian Sheila On 7 dan single baharu ciptaan penyanyi Aina Abdul berjudul Peganglah Hati.
Sementara itu, Zuana diumumkan sebagai naib juara, tempat ketiga milik Rayme manakala Hariz Fayahet dan Keka masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube