PELAKON Sophia Albarakbah lega selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata, minggu depan dia diminta untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberikan keterangan berhubung kes tersebut.
“Selepas buat laporan polis tempoh hari, minggu depan saya akan ke pejabat SKMM untuk beri kenyataan di sana. Sekarang barulah ada rasa lega sedikit.
Sophia berasa lega selepas membuat laporan polis.
“Saya buat perkara ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang, terutamanya rakan selebriti, sebab saya rasa golongan ini kerap jadi mangsa buli siber.
“Perkara ini bukan sesuatu yang patut dinormalisasikan, apatah lagi sekarang kecoh isu adik Zara… buli boleh akibatkan kematian,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Sophia berkata kejadian buli siber bukan sesuatu yang asing di luar negara, malah ada yang membawa kepada kes bunuh diri.
Malah pendedahannya di Instagram sebelum ini menjadi mangsa buli siber sedikit sebanyak memberi kesedaran terhadap mereka yang menganggap situasi itu sebagai perkara remeh.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan gila publisiti, Sophia Albarakbah dedah punca buat laporan polis... Tunjuk bukti terima mesej lucah
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sophia Albarakbah buat laporan polis, dakwa jadi mangsa buli siber lucah dan ugutan seksual… “Ada yang mahu hantar santau”
“Kes kematian akibat bunuh diri disebabkan buli siber sangat tinggi seperti di Korea Selatan. Syukur negara kita tak begitu, tapi kes seperti itu memang wujud.
“Selepas saya tunjuk bukti di Instagram sebab ada yang kata saya mengada-ngada sampai buat laporan polis, barulah mereka faham. Mungkin sebelum ini mereka tak tahu, jadi saya perlu beri kesedaran tentang apa yang berlaku.
“Lepas saya dedah bukti, semua orang faham… perkara yang jadi ini memang sangat melampau,” ujarnya.
Sementara itu, Sophia meluahkan rasa terharu apabila menerima sokongan daripada ramai rakan artis yang pernah melalui situasi sama.
Sophia tak sangka ramai artis mesej beri sokongan padanya.
“Saya rasa ramai rakan selebriti lain turut jadi mangsa, sebab itu ramai yang beri sokongan pada saya.
“Ada yang mesej dan saya rasa mereka faham apa yang saya lalui. Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka kerana prihatin dengan apa yang jadi,” jelasnya.
Sebelum ini, Sophia membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas mendapat kecaman melampau di media sosial.
Menurut peguam yang mewakilinya, Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan malah turut melibatkan ugutan seksual secara terbuka terhadap anak guamnya itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!