KEMELUT rumah tangga penyanyi Zehra Zambri bakal berakhir dengan perceraian apabila Majlis Tahkim mahkamah memutuskan tiada persefahaman antara dia dan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin.
Menurut Mohd Iqwan, 42, keputusan itu dibuat selepas perbincangan secara berasingan selama dua jam tidak menemui jalan penyelesaian.
“Menerusi Majlis Tahkim kami berbincang secara berasingan. Apabila tiada jalan penyelesaian, keputusannya adalah bercerai.
“Ia dibuat selepas berbincang dan mengemukakan bukti kedua-dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi mStar.
Iqwan bakal lafaz cerai terhadap Zehra pada 20 Ogos.
Pasangan itu hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada pagi Rabu bagi proses Hakam Islah seperti yang ditetapkan dalam perbicaraan sebelum ini.
Tambah Mohd Iqwan, mahkamah turut menasihatkan mereka agar tidak berbalah berhubung isu tuntutan cerai yang difailkan Zehra sebelum ini.
Bagaimanapun, lafaz cerai hanya akan dilakukan pada 20 Ogos ini kerana penyanyi itu berada dalam keadaan haid.
“Semua tuntutan perceraian digugurkan kecuali alasan tiada persefahaman.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Zehra Zambri urus sendiri anak sakit, dakwa suami hanya buat ‘content’ jaga di hospital
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kata sepakat dicapai, kes cerai Zehra Zambri dan suami diselesaikan secara hakam
“Saya boleh lafaz cerai talak raj’ie (masih boleh rujuk dalam tempoh idah) hari ini, tetapi Zehra dalam keadaan tidak suci,” ujarnya.
Berhubung dakwaan culas memberi nafkah, Mohd Iqwan memaklumkan dia sudah mengemukakan bukti kepada mahkamah.
Mereka diminta berbincang lanjut mengenai urusan nafkah selepas perceraian.
“Saya tiada komen tentang hal itu. Dia sendiri tahu saya sudah bayar. Saya ada bukti tidak culas memberi nafkah.
Iqwan juga nafi culas bayar nafkah.
“Sebab itu majlis minta kedua-dua pihak tidak berbalah. Berkaitan nafkah boleh buat tuntutan dan akan dilihat semula nanti,” jelasnya.
Pada 14 Julai lalu, proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat dan kedua-dua pihak perlu melantik hakam bagi kes perceraian itu.
Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Mohd Iqwan pada 7 Mac lalu.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!