KEJAYAAN filem Magika menjadi inspirasi kepada penubuhan sebuah taman tema berkonsepkan ‘edutainment’ yang dijangka akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Mei tahun depan.
Menurut Pengerusi Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, pemilihan filem Magika itu kerana ia membawa mesej kekeluargaan dan elemen muzikal yang kuat, berbeza daripada karya lain yang lebih memfokuskan golongan muda.
"Kami melihat perlunya wujud lokasi fizikal untuk mempromosikan Magika 2. Media sosial sahaja tidak mencukupi.
Norman teruja berkongsi satu lagi pembukaan taman tema.
"Jadi Taman Tema Magika bakal diwujudkan dengan konsep edutainment yang menggabungkan pendidikan dan hiburan serta berteraskan watak-watak dongeng dan mitos tempatan," katanya kepada mStar.
Mengulas lanjut, Norman berkata taman tema berkonsepkan indoor itu akan dibina di kawasan Lembah Klang dan ketika ini kerja infrastruktur sedang giat dijalankan.
"Sekarang rakan strategik kami sedang membuat tender untuk pembekalan elektrik. Insya-Allah kerja-kerja infrastruktur akan siap hujung tahun dan pemasangan aset bermula Januari tahun hadapan.
"Projek ini masih di bawah entiti KRU Entertainment tetapi akan dipindahkan ke KRUniverse selepas mencapai sasaran keuntungan," kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Edry teruja jumpa kaset lama KRU, mahu bawa pulang ke UK sebagai kenangan
ARTIKEL BERKAITAN: GenKRU batal konsert di Pulau Pinang, tak mahu ‘downgrade’ persembahan
Berkongsi mengenai KRUniverse, Norman berkata ia diwujudkan agar dapat memberi ruang baharu bagi memisahkan aktiviti seni dan perniagaan agar kedua-duanya dapat berkembang tanpa gangguan.
Jelasnya, keputusan untuk memperluaskan perniagaan ke bidang lain seperti hospitaliti dan teknologi dibuat selepas mereka kembali aktif.
Norman berkongsi hala tuju KRUniverse.
Filem Magika merupakan sebuah naskhah fantasi muzikal arahan Edry Abdul Halim yang mencetuskan fenomena pada tahun 2010 menerusi penceritaan unik dan menghimpunkan pelbagai watak ikonik daripada legenda serta dongeng Melayu.
Menampilkan gabungan dunia realiti dan alam magis, filem ini dibintangi barisan pelakon popular seperti Diana Danielle, Mawi, Ziana Zain, Ning Baizura, Maya Karin dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Kejayaan filem ini turut diiktiraf apabila ia dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!