SERAMAI 200 artis veteran tanah air menerima caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Inisiatif ini digerakkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak tahun lalu melalui kerjasama strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso dengan sokongan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajian Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, melalui perbincangan bersama Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, beberapa program kebajikan juga akan dipergiat bagi membantu artis veteran.
Kata Azmir, kerjasama ini juga membolehkan penggiat seni menjadikan caruman berkenaan sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan dan kebajikan mereka.
Azmir bersama Finas komited membantu anak seni.
“Ini satu inisiatif untuk bantu artis veteran, iaitu melalui caruman KWSP dan PERKESO. Di mana PERKESO, kita ada lebih kurang 200 ahli atau penggiat industri veteran ini yang mendapat caruman.
“Dalam masa terdekat juga kita akan mengumumkan beberapa inisiatif untuk artis veteran seperti dana dan sebagainya. Seperti pernah dimaklumkan, bagaimana kita boleh memberi peluang kepada penggiat industri berpengalaman luas ini.
“Bagi yang mempunyai pengalaman lebih 20 hingga 30 tahun, kami akan fikirkan cara untuk mereka dapat menyumbang dari segi menjadi tenaga pengajar di peringkat universiti,” katanya kepada mStar.
Azmir berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis penyampaian sijil caruman Perkeso dan sijil keahlian KWSP kepada penggiat seni kreatif di kompleks Finas, Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran ‘ciput’ jadi rungutan, Finas perkenal peluang baharu jaga kebajikan kru dan pelakon veteran
ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas
Dalam pada itu, Azmir memberitahu Finas juga akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 penggiat industri yang masih belum mempunyai akaun.
Kata Azmir kuota berkenaan dibuka sehingga September depan dengan keutamaan kepada penggiat yang belum pernah mendaftar.
“Untuk i-Saraan, masih lagi memerlukan lebih banyak promosi untuk mereka tahu apakah inisiatif ataupun kebaikan apabila membuka akaun berkenaan.
“Kita akan tetapkan melalui insentif seperti dana atau Insentif Filem di Malaysia (FIMI), di mana penerbit ataupun syarikat-syarikat yang menerima dana itu perlu mencarum ke atas semua kru yang terbabit dalam projek mereka.
“Syarat itu terbuka sama ada mereka buka akaun i-Saraan KWSP ataupun mencarum beberapa peratus daripada hasil ataupun gaji yang sudah dipersetujui dalam kontrak.
“Kita juga akan pastikan melalui Akta FINAS baru nanti termasuk Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan lesen FINAS, semua penggiat industri perlu membuka akaun i-Saraan KWSP,” ujarnya.
Norlia antara pelakon yang menerima sijil caruman Perkeso.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac; Presiden GAFEMA, Pansha; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi; Presiden Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh serta wakil pengurusan tertinggi KWSP dan Perkeso.
Seramai 20 artis veteran hadir menerima sijil caruman Perkeso termasuk pelakon Margaret Gan, Norlia Ghani, AR Badul dan penyanyi Zaiton Sameon.
Manakala 20 lagi penggiat industri kreatif menerima sijil pembukaan akaun i-Saraan KWSP bagi yang belum mempunyai akaun, sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan mereka dalam skim itu.
Pada April lalu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan akan menaja pembukaan akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 penggiat industri hiburan tempatan.
Kata Fahmi, inisiatif ini diperkenalkan menerusi program Pelindung yang menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada tenaga industri yang terpinggir termasuk kru bebas dan pekerja belakang tabir.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!