MENERIMA lima pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi album Pujangga, penyanyi Hazama bersyukur dan menganggap ia adalah satu usaha terbaik.
Apa tidaknya, ketika menghasilkan album itu Hazama dan isterinya yang juga pengarah muzik Genervie Kam sama-sama setuju untuk menggunakan wang simpanan yang sepatutnya diperuntukkan bagi tujuan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.
Kata Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, 41, pencalonan ini juga menjadi bukti penggiat industri muzik dapat menerima hasil karyanya sendiri.
Hazama mahu terus berkongsi karya baharu.
"Berbaloi gadaikan duit IVF. Selain menggunakan dana saya laburkan duit sendiri untuk buat album ini. Bukan selalu dapat buat album, jadi saya letakkan semua duit untuk tujuan itu.
"Apabila tercalon saya rasa cukup gembira. Ini bukti industri kreatif melihat hasil usaha saya sendiri.
"Dalam pencalonan AIM sebelum ini saya hanya menyumbangkan suara, tetapi kali ini ia adalah melodi jiwa sendiri," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Hazama dah ada dua motor berkuasa tinggi, tapi lebih banyak berhabis duit beli jaket mahal
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hazama dan isteri tetap bahagia tanpa anak, rasa membazir mahu teruskan IVF... “Saya serah kepada Allah”
Hazama ditemui ketika majlis pengumuman Top 5 AIM24 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Lebih membanggakan bagi penyanyi ini apabila tiga lagu daripada album berkenaan dicalonkan dalam kategori Lagu Rock Terbaik.
Hazama turut bersaing dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik bersama Akim Ahmad, Amir Masdi, Hafiz Suip dan Ryenald Guntabid.
Ini adalah baby kami
HAZAMA
PENYANYI
Selain itu lagu nyanyiannya bersama Noraniza Idris berjudul Penawar Kata tercalon dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik.
Secara keseluruhan nama Hazama mendapat enam pencalonan termasuk Rakaman Album Terbaik.
Tambahnya pengiktirafan sebagai top 5 AIM24 juga memberi keyakinan untuk terus berkarya termasuk menghasilkan lagu-lagu baharu buat penyanyi lain.
AIM24 menampilkan 30 kategori untuk pengiat industri muzik.
"Bukan sahaja bersemangat malah saya lebih yakin untuk terbitkan lagu. Mungkin ada yang berminat minta lagu selepas ini, saya akan teruskan.
"Kalau boleh saya mahu kongsi lebih banyak karya dengan orang lain. Harap penyanyi lain juga akan yakin untuk bekerjasama dengan saya," luahnya.
AIM24 bakal berlangsung pada 13 September ini di Arena of Stars Genting Highlands, Pahang dan bersiaran secara langsung di saluran RTM.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!