suria

Bukan tiada tawaran, Bront Palarae pilih naskhah berkualiti demi nama baik industri filem Malaysia

Bront mahu karya yang membanggakan Malaysia.

SENTIASA berhati-hati dalam memilih naskhah membuatkan pelakon Bront Palarae semakin jarang dilihat membintangi drama mahupun filem di Malaysia.

Bront atau Nasrul Suhaimi Saidudd, 46, berkata dia lebih selektif kerana mahu terlibat dalam karya yang mampu mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa memandangkan dirinya sudah memiliki peminat di Thailand dan Indonesia.

“Sekarang ini, bila nak terima sesuatu naskhah, saya perlu fikir banyak perkara. Saya ada peminat di luar negara yang pasti akan menonton filem tempatan kita.

Bront berhati-hati memilih watak.

“Mereka juga akan menilai standard filem kita. Sebenarnya banyak filem kita yang berkualiti dan menarik,” katanya kepada mStar.

Bront turut menegaskan dia enggan terlibat dalam projek yang klise kerana ingin memastikan persembahan lakonannya berada dalam karya terbaik yang boleh dibanggakan.

Tambah Bront, dia pernah menerima pujian daripada peminat luar negara mengenai filem Malaysia walaupun tidak terbabit dalam naskhah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bront Palarae syukur tiada tawaran babak panas, sedar diri bukan dalam kelompok pelakon seksi

ARTIKEL BERKAITAN: Bront Palarae tumpaskan nama besar Thailand, menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baannang Klang Lakorn ke-21

“Saya tak nak bawa cerita yang tak ‘best’. Saya mahu berada dalam projek yang bagus supaya apabila orang luar menonton mereka akan memuji industri kita.

“Saya pernah bertemu peminat di luar negara yang memuji filem Malaysia. Saya mahu reputasi industri filem Malaysia terus ‘wangi’ di mata dunia.

“Mungkin kebimbangan itu juga sedikit sebanyak menjadikan pemilihan naskhah saya lebih rumit,” jelasnya.

Bront mahu karya berkualiti.

Walaupun sentiasa menerima tawaran lakonan daripada penerbit tempatan, Bront mengakui tidak semua naskhah menepati cita rasanya namun dia tidak menafikan kadang-kala tersalah menilai sesuatu karya.

“Saya masih menerima tawaran lakonan hampir setiap bulan, cuma tidak semua sesuai dengan selera saya. Tanpa sedar, dah tiga tahun saya tidak berlakon dalam produksi tempatan.

“Saya memang mahu berlakon, tetapi ada kalanya tersilap buat pilihan apabila ingatkan jalan cerita itu tak menarik, tapi sebenarnya hasilnya bagus,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain