suria

Amir Hasan alami masalah pernafasan, terpaksa berehat daripada menyanyi

Amir berdepan masalah kesihatan sejak April lalu.

PENYANYI Amir Hasan berdepan masalah kesihatan dan menerima rawatan di hospital kira-kira tiga bulan lalu apabila tahap bacaan oksigennya menurun. 

Menurut Amir atau Amir Abu Hasan, 29, dia mengalami masalah gastrik teruk selain tidak boleh terlalu penat bekerja. 

Katanya, dia tidak menolak penyakit yang dihadapi berpunca daripada ketagihan rokok hingga memberi kesan terhadap pernafasannya itu. 

Amir akur tidak lagi aktif menyanyi seperti dulu.

"Sebenarnya saya mempunyai masalah gastrik teruk dan gerd sejak tahun lalu. Pola pemakanan saya juga sudah berubah, saya tak boleh terlebih makan. 

"Apa yang saya risaukan sekarang ini adalah tahap oksigen kerana stres bekerja. Ditambah pula dengan rokok dan vape serta ada penyakit asma.

"Saya masuk wad tiga bulan lalu kerana bacaan oksigen tinggal 31 peratus. Saya ambil ubat dan Alhamdulillah sudah 60 peratus pulih walaupun tidak sembuh sepenuhnya," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun tiada lagu baharu, Amir Hasan takut dilupakan... Enggan buat gimik raih populariti

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Hasan dituduh songlap duit Andi Bernadee, kecewa nama kena ‘petik’ - “Sedih netizen caci arwah bapa”

Amir berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Restoran Pizzaiolo yang diadakan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Amir memberitahu disebabkan masalah kesihatan ini dia tidak boleh lagi aktif menyanyi kerana berdepan masalah untuk mengawal pernafasan. 

Kata Amir yang juga peserta program Big Stage musim ketiga ini, dia tidak menafikan turut berasa sedih mengenangkan keadaan itu namun akur demi menjaga kesihatan diri. 

Saya masuk wad tiga bulan lalu kerana bacaan oksigen tinggal 31 peratus.

AMIR HASAN

PENYANYI

"Sebab itu sekarang ini saya sudah tidak menyanyi. Saya dah tak boleh buat persembahan kerana kena kawal pernafasan. 

"Senang cerita bila saya kurang pernafasan, saya tak fit dan rasa nak pengsan sebab oksigen tak cukup.  Kali terakhir saya buat persembahan nyanyian dekat The Curve tempoh hari. Memang tak larat dah. 

"Kalau ikutkan saya masih minat menyanyi tetapi kini dalam proses pemulihan. Saya rasa sedih kerana tidak dapat menyanyi," ujarnya. 

Disebabkan oleh masalah kesihatan yang dihadapinya itu, berat badan Amir juga turun mendadak sehingga membuatkan ibunya risau jika dia mengambil barang terlarang. 

Amir tidak boleh terlalu penat bekerja atas faktor kesihatan.

"Ada juga orang yang sudah tak cam saya (terlalu kurus). Sampai mak saya sendiri membebel sebab dia risau takut saya ambil dadah. 

"Dia risau saya dalam industri hiburan, apa saja boleh berlaku. Tetapi saya jelaskan kepada mak yang itu semua (dadah) tidak berlaku. 

"Sebelum ini berat badan saya hampir 70 kilogram (kg), saya hilang berat sebanyak 15 ke 16 kg dan kini berat saya sekitar 52 kg," katanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain