suria

Tiga jam berbual di kaki lima, Imam Muda Asyraf kagum keperibadian Duta SO7... “Dia bukan kosong”

Asyraf anggap pertemuan dengan Duta sangat bermakna.

PENDAKWAH selebriti, Imam Muda Asyraf, berkongsi pengalaman yang cukup menyentuh hati apabila dapat meluangkan masa hampir tiga jam bersama vokalis kumpulan Sheila On 7, Duta, ketika dia berada di Jakarta.

Menurut Asyraf atau Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 41, pertemuan mereka hanya di kaki lima luar bilik hotel sambil menikmati pisang salai, roti dan kerepek yang disediakan sendiri oleh isteri Duta.

“Kenangan paling mahal kadang bukanlah di pentas besar. Namun ia hadir di ruang sederhana, dalam waktu yang tak diduga,” katanya.

Asyraf kagum dengan sifat keperibadian Duta.

Asyraf berkongsi cerita itu dalam satu hantaran di Instagramnya pada Sabtu.

Menurut Asyraf, malam itu bukan sekadar sesi pertemuan biasa, tetapi penuh dengan perbualan yang menyentuh jiwa dengan membincangkan soal seni, agama, kehidupan dan nilai menjadi manusia.

Walaupun tidak dirancang, namun ia seperti satu pelajaran yang hadir tepat pada masanya.

“Malam itu saya belajar, bintang di pentas boleh juga menjadi pelita di hati,” ujarnya

ARTIKEL BERKAITAN: Umur semakin tua, Asyraf nak buang gelaran ‘Imam Muda’… Minta idea nama baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Viral video Duta SO7 jadi imam sebelum konsert, tepis dakwaan rosakkan moral anak muda

Di sebalik populariti yang tidak pernah pudar, Duta atau Akhdiyat Duta Modjo, 45, rupa-rupanya menyimpan sisi peribadi yang cukup merendah diri.

Menurut Asyraf, antara kata-kata yang paling menyentuh hati malam itu adalah apabila Duta meluahkan niat tulusnya hanya mahu membahagiakan semua orang.

Lebih mengagumkan, Duta turut berkongsi satu kisah ketika dia menunaikan umrah di Tanah Suci, di mana seorang lelaki Mesir pernah menegurnya dengan mengatakan nyanyian itu haram.

Namun respons Duta ketika itu cukup tenang dan menggambarkan akhlak serta kematangan jiwanya.

Asyraf anggap Duta tidak kosong bila bicara soal agama.

“Saya datang ke Tanah Suci ini untuk memperbaiki diri. Doakan saya jadi orang yang baik,” balas Duta seperti yang diceritakan Asyraf. 

Asyraf mengakui, meskipun Duta bukanlah seorang ustaz atau pendakwah, namun pandangan serta cara penyampaiannya cukup menyentuh.

“Dia bukan kosong soal fikir agamanya. Tapi dia lebih memilih memberi jawapan dari hati yang rendah, bukan dari ego,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain