suria

Arfie Shah disunting produksi Taiwan, syukur rezeki makin luas

Arfie mula menempah nama ke persada antarabangsa dalam bidang lakonan.

PELAKON Arfie Shah teruja apabila dilamar produksi dari Taiwan untuk membintangi drama bersiri terbaharu mereka.

Meskipun diberikan watak sampingan, Arfie atau nama penuhnya Adwafri Shaharuddin menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang mengasah bakat lakonan di pentas antarabangsa.

Jelasnya, kepercayaan pihak luar terhadap kemampuan lakonannya adalah satu pencapaian yang luar biasa.

Hero Impak Maksima 2 itu teruja disunting produksi luar untuk siri drama terbaharu.

"Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki besar. Walaupun bukan watak utama, bagi saya dapat terlibat dalam produksi luar negara sudah cukup bermakna.

"Mereka percaya dengan bakat saya walaupun saya orang luar. Itu yang buat saya lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan," katanya.

Mengulas lanjut tentang bagaimana bakatnya dikesan, pemain hero Impak Maksima 2 itu tidak pasti mengenai perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam tak sesuai jadi pengganti Awal Ashaari dalam ‘Impak Maksima 2’, Arfie Shah sedia terima kritikan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terlalu banyak berfikir sampai ganggu emosi, Arfie Shah gementar jadi hero ‘Impak Maksima 2’

"Pihak produksi Taiwan ada menghubungi pengurusan saya dan meminta saya mengosongkan jadual kerana mereka mahu tawarkan sebuah drama bersiri.

"Saya percaya mungkin mereka nampak lakonan saya menerusi siri drama X-Change yang pernah ditayangkan di sebuah platform penstriman digital sebelum ini," jelasnya.

Bakal menjalani penggambaran di Taiwan pada awal Oktober ini, Arfie mendakwa kejayaan yang diraih bukanlah bersifat peribadi semata-mata, malah membuka jalan untuk pelakon Malaysia lebih dikenali di pasaran global.

"Kalau sebelum ini saya terlibat dengan drama produksi Singapura, kini Taiwan pula beri peluang. Saya percaya rezeki Allah luas, cuma kita kena sentiasa berusaha dan berdisiplin," katanya. 

Arfie percaya aturan Tuhan soal rezeki.

Mengakui dirinya pernah berada di fasa sukar dalam kerjaya, Arfie tetap yakin pada rezeki yang sudah tertulis.

"Saya percaya setiap orang ada masa masing-masing. Sekarang saya nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki itu terbuka.

"Saya juga jadikan pengalaman ini sebagai satu pembelajaran kerana budaya kerja mereka berbeza. Daripada situ kita dapat tambah ilmu dan tingkatkan kualiti lakonan," katanya. 

Artikel Lain