PENYANYI Pasya berkongsi berita duka apabila bapanya menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru tahap empat pada pagi Sabtu.
Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, 31, arwah ayahnya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 7 pagi selepas berbulan-bulan bertarung dengan penyakit berkenaan.
Allahyarham menghembuskan pergi menghadap Ilahi pada usia 65 tahun.
Allahyarham meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
“Ayah saya dah hidap kanser paru-paru tahap empat. Sebenarnya sepanjang tiga bulan saya dalam program Raise The Star, ayah sebenarnya sedang bertarung.
“Saya sendiri dalam keadaan tengah jaga ayah sampaikan habis program pun ayah masih keluar masuk wad.
“Pagi ini sekitar 7 pagi ayah saya menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi mStar pada pagi Sabtu.
Lebih menyedihkan, Pasya memberitahu arwah menghembuskan nafas terakhir ketika berada di dalam pangkuannya selepas dia bergilir menjaga sepanjang malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasya impi lagu hits bantu lonjak nama, mahu tinggalkan dunia busking
ARTIKEL BERKAITAN: Search KidDin belum ada vokalis tetap, terus gunakan khidmat Pasya
“Hari ini giliran saya jaga ayah dan dia pergi di tangan saya sendiri.
“Biasanya malam ayah okay tidur, tapi malam semalam lain sikit,” ujarnya.
Pasya bagaimanapun reda dengan pemergian bapanya itu meskipun tidak menyangka ajal akan datang secepat ini.
Pasya sedih kehilangan bapanya.
Katanya, doktor ada memaklumkan jangka hayat arwah lebih kurang enam bulan, namun Allah lebih menyayanginya.
“Sebenarnya perkara ini kami dah boleh jangka sebab tahap empat. Kami sudah bersedia cuma tak sangka secepat ini.
“Baru semalam jumpa doktor, katanya jangka hayat arwah mungkin enam bulan lagi. Kami cuba positif depan ayah, walaupun hati hancur dan sedih sangat,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube