suria

Chloe Lim dinobat Miss Universe Malaysia 2025, sedia galas cabaran ke Thailand November ini

Chloe dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025.

SIAPA sangka bermula dengan kerjaya perunding pengurusan, kini Chloe Lim dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025 pada Jumaat. 

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Chloe atau nama sebenarnya Chloe Lim Sue Lyn, 27, mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2025 yang dijadual berlangsung di Pak Kret, Nonthaburi, Thailand, November depan.

Tidak menyangka mampu mengungguli saingan 15 peserta lain, Chloe menyifatkan kejayaan tersebut sebagai impian besar yang akhirnya menjadi kenyataan.

Chloe bakal mewakili Malaysia di pertandingan Miss Universe 2025 di Thailand November ini. 

“Mungkin malam ini rezeki berpihak kepada saya. Ini satu penghormatan dan saya sedang merealisasikan impian saya sekarang. Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi saya sentiasa berdoa untuknya.

“Saya hanya tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik walau apa pun yang terjadi. Saya teruja untuk melihat apa yang menanti dalam perjalanan akan datang,” katanya kepada mStar semasa sidang media. 

Tambah Chloe, semua peserta lain cukup hebat dan sepanjang pertandingan dia hanya cuba menjadi diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratu cantik Malaysia ungguli Top 30, wakil Denmark dinobat Miss Universe 2024

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek kerana berdarah kacukan, Nina Kho buktikan wajah eksotik pun boleh sertai ratu cantik

Janji Chloe, dia akan memberikan sepenuh kudrat bagi memastikan nama Malaysia terus menyerlah di pentas dunia.

Katanya, kemenangan Sandra Lim yang menempatkan diri dalam Top 30 Miss Universe 2024  menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih baik.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya harap dapat mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin untuk benar-benar mewakili Malaysia di pentas dunia di Thailand.

Dari kiri, Priya Simmi (tempat kedua), Chloe, Jen Li (tempat ketiga).

“Sudah tentu untuk pertandingan ini, terdapat aspek-aspek yang perlu diperhalusi dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk menang.

“Oleh itu, saya pasti akan memberikan komitmen 100 peratus dari segi fizikal, mental, dan emosi untuk bersedia bagi semua aspek,” ujarnya.

Untuk rekod, tempat kedua menjadi milik penasihat perniagaan Priya Simmi, 30, manakala model dan pempengaruh Jen Li, 28, meraih kedudukan ketiga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain