PERTAMA kali tercalon untuk acara hiburan, penyanyi Eda Ezrin meluahkan rasa syukur apabila diumumkan sebagai calon Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi Cinta Setandan Pisang di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan, 30, berkata, pencalonan tersebut ibarat mimpi menjadi kenyataan dan membuktikan setiap ujian yang dilalui sebelum ini membawa hikmah terbaik.
Kata Eda, pencalonan dalam anugerah berprestij itu juga menjadi pemangkin semangat buat dirinya untuk terus memperjuangkan industri seni dikir barat.
Eda berharap kemenangan berpihak kepada lagu Cinta Setandan Pisang.
"Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur kerana lagu saya tercalon untuk AIM. Rasa macam mimpi pun ada.
"Setiap apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini ada hikmahnya dan rezeki tak terduga Allah nak bagi.
"Perancangan Allah memang terbaik, semoga rezeki berpihak kepada kami. Ia juga menjadi pembakar semangat untuk saya terus ke hadapan dalam industri seni dikir barat," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen hukum tanpa tahu cerita sebenar, Eda Ezrin berlapang dada kena fitnah... “Saya dikhianati rakan sendiri”
ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin belum sedia nyanyi atas pentas, syukur banyak tawaran lepas bebas penjara... Kini lebih hati-hati pilih kawan
Dalam pada itu, Eda turut berharap lagu "Bea Soba Bea" yang dipertaruhkan kali ini mampu meraih kemenangan di pentas berprestij itu.
"Harapan saya semoga lagu Bea Soba Bea ini dapat jadi johan (menang) di AIM24 dan semoga ada rezeki buat saya.
"Insya-Allah kalau ada rezeki tapi kalau tak ada pun tidak mengapa kerana saya sudah bersyukur tercalon di AIM24, saya tahu bukan mudah nak sampai ke tahap ini," ujarnya.
Pun begitu, Eda memaklumkan dia tidak dapat turut sama di acara AIM24 yang bakal berlangsung pada malam Sabtu di Arena of Stars, Genting Highlands kerana mempunyai hal peribadi.
Eda mahu memperjuangkan industri muzik seni dikir barat.
Sebelum ini, Eda memuat naik kad jemputan eksklusif AIM24 di Instagram miliknya dan memohon orang ramai mendoakan kejayaan buat lagu Cinta Setandan Pisang.
"Doakan kami esok (Sabtu) 'Bea Soba Bea', semoga dipermudahkan urusan kami esok, semoga ada rezeki buat kami," tulisnya.
Menerusi kategori tersebut, Eda turut bersaing dengan empat lagi calon lagu termasuk Menyantun Kasih (Siti Nordiana), Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube