PENYANYI Ryenald Guntabid tidak menyangka selepas namanya diumumkan sebagai pemenang bagi dua kategori utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands malam Sabtu.
Kata Ryenald, 29, anugerah yang diterima itu bukan sahaja dianggap satu pengiktirafan, malah satu penghargaan kepada barisan penyanyi berpengalaman yang menjadi sumber inspirasi dan pembelajaran buat dirinya.
“Sejujurnya saya sama sekali tidak menjangkakan kemenangan ini. Macam mana saya boleh dapat pun saya tidak tahu hendak jawab bagaimana.
Ryenald meraih kejayaan dalam kategori Artis Baru Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik.
“Saya rasa ini adalah rezeki yang saya tidak boleh dan tidak dapat tolak. Apapun saya sangat gembira dan bangga kerana saya bersaing dengan penyanyi hebat seperti yang saya anggap semuanya senior saya.
“Jadi, mendapatkan anugerah ini adalah satu ucapan terima kasih buat mereka kerana saya sudah belajar banyak perkara,” katanya kepada mStar.
Ryenald berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media AIM24 yang diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan pernah takut untuk bermimpi besar” - Siti Nurhaliza terima Anugerah Sri Wirama AIM24
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kemenangan di AIM24 pencapaian paling bermakna, Aina Abdul sebak teringat segala usaha dan penat lelah
Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini berjaya mencuri tumpuan ramai apabila memenangi kategori Artis Baru Terbaik menewaskan empat calon lain termasuk Erika Foo, Intan Maya, Koi dan Xone.
Lebih membanggakan pertaruhan lagu berjudul Lumangad Oku Dika berjaya memenangi kategori tumpuan iaitu Vokal Lelaki Terbaik sekali gus mengetepikan saingan sengit seperti Akim Ahmad (Saksama), Amir Masdi (Sengaja) Hafiz Suip (Terus Bersinar) dan Hazama (Medonan).
Meskipun sudah enam tahun bergelar anak seni, Ryenald berharap kemenangan yang diraih ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk memperkenalkan diri dan karyanya kepada masyarakat Malaysia.
“Saya harap kejayaan ini akan membawa orang untuk mengenali saya dan juga karya-karya yang saya sudah buat sekarang termasuk untuk masa depan,” katanya yang kini sudah enam tahun terbabit dalam dunia nyanyian.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube