suria

“Fatima tak nak lepaskan tangan saya, dia terlalu rindu” - Fattah Amin

Fatima tidak mahu berenggang dengan Fattah (kanan) di sepanjang majlis pernikahan.

PELAKON Fattah Amin, 35, menyifatkan tindakan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang tidak mahu berenggang dengannya pada majlis pernikahan bersama Amira Othman, 32, pada malam Ahad mungkin disebabkan terlalu rindu.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, dia tidak menyangka Fatima enggan melepaskan tangannya selepas berjumpa ketika keluar dari dewan untuk menunaikan solat sunat.

“Betul, dia (Fatima) tak mahu lepaskan saya. Sebab kebetulan dia tengok daddy dia hilang sebab masa itu dia pergi ke belakang. Mungkin juga dia rindu.

Fattah hanya mahu melihat isteri dan anaknya gembira pada majlis pernikahan itu.

“Jadi bila dia nampak saya, dia terus peluk. Kita pun tak sangka ingat bila dia dah peluk, dia nak lepas. Rupanya dia tak lepaskan Tapi, itulah mungkin dia rindu. 

“Saya pun sentiasa rindukan dia. Tapi Alhamdulillah, Amira seorang yang boleh terima dan dia (Amira) memang sangat memahami,” katanya. 

Menurut Fattah, apa yang penting adalah melihat isteri dan anak gembira pada majlis pernikahan berkenaan dan syukur semuanya berlangsung dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fattah Amin, Amira Othman sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amira Othman sedia galas tanggungjawab sebagai ibu tiri... “Saya tiada masalah”

“Masa ‘rehearsal’ kita tak macam itu (Fatima tak nak lepaskan Fattah). Tapi, semuanya berlaku sudah ditakdirkan begitu.

“Apa yang penting, Amira gembira dan Fatima pun gembira, itu sudah cukup,”’katanya. 

Terdahulu, pasangan itu selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis akad nikah di Sepang, Selangor, pada malam Ahad. 

Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 2017 sebelum bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, Fattah dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.

Fattah (kiri) dan Amira bernikah pada 14 September lalu.

Majlis akad nikah Fattah dan Amira berlangsung meriah dengan diraikan ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak serta disiarkan secara langsung di saluran Inspirasi Unifi TV 2.0.

Mulai 19 September ini, setiap Jumaat jam 9 malam, peminat boleh menyaksikan program Setulus Takdir: Fattah Amira yang memaparkan perjalanan baharu pasangan ini sebagai suami isteri. 

Eksklusif di saluran Inspirasi, Unifi TV, program ini akan menayangkan momen akad nikah, bulan madu, aktiviti kebajikan dan banyak lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain