PENYANYI Amelina teruja apabila bakal berkerjasama dengan ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista menerusi konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara.
Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin, 51, berkata kolaborasi itu bukan sahaja satu penghormatan buat dirinya, malah menjadi peluang besar untuk memperkenalkan semula irama dangdut Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Dia ini kira legend, sebelum saya jadi penyanyi lagi nama Inul Daratista dah meletup. Sampai sekarang dia masih kekal sebagai ikon dangdut yang sangat popular,” katanya kepada mStar.
Amelina sudah lama idolakan Inul.
Menurut Amelina, kerjasama ini juga bakal menjadi momen berharga yang mampu membuka semula mata dunia terhadap keunikan dangdut versi Malaysia.
“Ya, dangdut memang berasal dari sana (Indonesia), tapi kita ada cara tersendiri untuk tampilkan karakter dangdut Malaysia," kongsinya.
Katanya lagi, persembahannya mungkin tidak seaktif penyanyi dangdut lain kerana genre yang dibawanya lebih kepada gaya manja dan berinteraksi bersama penonton.
Pun begitu dia mengakui persembahan dangdut yang dibawakan bergantung pada sambutan penonton dan suasana yang dibawa oleh mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun hidup solo, Amelina sudah hilang 'taring' pikat lelaki... pilih tundukkan pandangan
ARTIKEL BERKAITAN: Amelina takut kecewa lagu baharu tak dapat sambutan, sedar genre dangdut sudah tenggelam
“Mungkin saya tak goyang gerudi sangat sebab lagu saya bukan jenis gelek. Lagu saya lebih kepada gedik-gedik dan nyanyi bersama.
"Kalau penonton bagi ‘energy’, saya pun naik semangat. Penonton sebenarnya yang bawa kita. Kalau mereka dah naik ‘sheikh’, saya rasa macam menang! Tapi kalau penonton diam saja saya rasa kalah," luahnya.
Dalam pada itu, Amelina memberitahu dia sudah lama tidak menerima undangan persembahan di Indonesia selepas menyepikan diri daripada dunia hiburan sebelum ini namun berharap kerjasama kali ini akan menaikkan kembali namaya.
“Sudah lama tiada undangan di sana, tapi Alhamdulillah undangan di sini masih banyak. Lagipun, mungkin sebab silap saya juga yang pernah ‘menghilang’ satu ketika dulu,” ujarnya.
Amelina dan Baby Shima (kiri) meriahkan konsert Inul.
Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini.
Selain Amelina, konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Baby Shima dan Mohram serta Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube