PELAKON dan penyanyi Liyana Jasmay kini sedang giat membuat persiapan bagi filem pertama terbitan syarikat produksinya, Mermaid Studios Sdn Bhd yang dijadualkan memulakan penggambaran pada November ini.
Menariknya, Liyana, 37, bakal membawa projek filem tersebut ke Cannes, Perancis pada Oktober bagi mencari pelabur luar negara yang berpotensi untuk melabur dalam karya tempatan.
Kata Liyana, acara tersebut merupakan kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana pihaknya turut mendapat dana daripada badan berkenaan.
"Sekarang ini saya tengah bersedia untuk filem pertama yang akan memulakan penggambaran November ini. Bulan 10 saya akan ke Cannes, doakan saya. Saya akan ke sana untuk bawa filem ini bagi mencari pelabur.
Liyana bakal berangkat ke Cannes pada Oktober ini.
"Saya minta kawan-kawan di Malaysia doakan saya dapat pelabur luar negara untuk melabur dalam filem tempatan kita.
"Cita-cita saya tinggi tapi sebenarnya memang ramai persatuan dan penerbit filem Malaysia setiap tahun akan ke Cannes untuk jual filem," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Liyana memberitahu ini merupakan kali pertama syarikat produksi miliknya menyertai acara tesebut dan sudah tentu ia merupakan pengalaman bermakna buat mereka.
"Ini adalah kali pertama untuk syarikat saya pergi, jadi kami sangat berkobar-kobar dengan harapan dapat bertemu dengan pelabur-pelabur luar negara,"katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Liyana Jasmay seronok kongsi ilmu, pernah ‘naik hantu’ ajar pelakon baharu
ARTIKEL BERKAITAN: Mata ‘redup’ jadi sebutan, Liyana Jasmay tenang terima komen netizen... Perlu viral untuk dapat perhatian
Liyana turut menzahirkan rasa teruja kerana terpilih menyertai persidangan yang dikendalikan oleh Finas itu dan berharap ia membuka peluang bagi berinteraksi dengan pelabur serta penggiat seni dari seluruh dunia.
Saya akan ke sana untuk bawa filem ini bagi mencari pelabur.
LIYANA JASMAY
PELAKON
"Saya masuk di bawah kendalian Finas Pavilion memandangkan filem saya mendapat dana daripada Finas. Kami sangat bersyukur.
"Saya tak tahu akan berjumpa dengan siapa tetapi ada penerbit beritahu kita boleh berbincang dengan ramai orang di sana.
"Tetapi perlu hati-hati juga kerana lebih besar acara itu, lebih banyak scammer (penipu). Jadi saya sudah sedia maklum dan berhati-hati," jelasnya.
Filem pertama terbitan Liyana dijangka memulakan penggambaran pada November depan.
Menyentuh tentang projek filem sulungnya, Liyana mendedahkan skrip bergenre seram itu telah lama disiapkan namun disimpan kerana kekangan bajet dan masa.
"Filem pertama saya bergenre seram. Saya dah ada pelakon utama tapi tak boleh didedahkan lagi. Saya akan umumkan pada sidang media kelak. Saya pun hanya jadi cameo untuk dua babak.
"Filem ini sebenarnya saya dah tulis lama. Lepas tu saya letak tepi dulu kerana belum ada rezeki untuk filem ini.
"Bila saya fokus buat rancangan televisyen, tiba-tiba Finas buka dana. Jadi skrip yang dah lama saya buat ini saya hantar dan Alhamdulillah diterima," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube