suria

Ade Govinda tak sangka jadi pilihan artis tempatan, terharu karya diterima peminat Malaysia

Ade tidak menyangka hasil karyanya diterima peminat di Malaysia.

KOMPOSER Indonesia, Ade Govinda tidak menyangka karya ciptaannya bukan sahaja mendapat permintaan artis Malaysia malah turut meraih sambutan luar biasa peminat. 

Ade atau  nama sebenarnya Ade Nurulianto, 41, berkata, dia tidak menjangka lagu Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri yang dihasilkan mendapat perhatian peminat di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Menurutnya, kerjasama itu merupakan kolaborasi istimewa yang memberi impak besar terhadap penerimaan lagu berkenaan. 

"Sebenarnya saya tidak menyangka (pilihan artis Malaysia) tetapi sudah rezeki tiada siapa pernah tahu. Sewaktu di Singapura, persembahan lagu Masing-Masing begitu mendapat sambutan ramai. 

Ade teruja dengan sambutan peminat terhadap lagu-lagu ciptaannya.

"Sangat luar biasa lagu ini (Masing-Masing) diterima di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Alhamdulillah ini kerjasama yang hebat dengan Ernie. 

"Daripada awal saya buat demo lagu ini tak pernah menyangka akan menerima sambutan seperti ini. Semoga kami boleh berkarya lagi dan ada lagi lagu yang akan dilancarkan. Mohon doa daripada semua peminat," katanya kepada mStar.  

Melihat kepada sambutan hangat yang diterima, Ade merancang untuk meneruskan kolaborasi bersama artis-artis dari Malaysia dan Indonesia.

Namun begitu, perancangan tersebut perlu dilakukan secara strategik agar setiap karya mendapat ruang perhatian yang sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kagum magis Ade Govinda, siap bawa makanan ketika rakaman

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul raih empat anugerah termasuk Lagu Terbaik AIM24, Belagu II menang Album Terbaik

"Selepas ini akan ada lebih banyak kolaborasi dengan artis Malaysia dan Indonesia. Cuma saya perlu susun semua lagu-lagu yang akan dilancarkan kerana buat masa sekarang ada dua atau tiga buah lagu baru lagi. 

"Apapun saya perlu menyusun strategi dan tak boleh dilancarkan secara serentak. Disebabkan itu saya perlu lebih selektif memilih lagu yang terbaik untuk dilancarkan terlebih dahulu,"katanya.

Sementara itu, Ade mengakui sebagai seorang komposer dia berdepan cabaran untuk menghasilkan karya yang terbaik.

Ade turut berkolaborasi bersama Bella (kiri).

"Sudah pasti hal ini menjadi keresahan seorang komposer untuk memastikan sentiasa menghasilkan lagu terbaik. 

"Apa yang saya boleh buat hanya berdoa dan percaya pasti ada jalan untuk mempermudahkan segala urusan kita," katanya. 

Selain Ernie, antara penyanyi yang pernah berkerjasama dengan Ade termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Menamakanmu Cinta, Fazura (Luar Biasa) dan Bella Astillah (Lebih Indah Berpisah). 

Lagu Masing-Masing turut merangkul trofi di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik dan Lagu Paling Tinggi Distrim. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain