suria

Konsert Elite penuh tenaga, peminat tak kering gusi lihat gelagat ‘mak-mak’ atas pentas

Elite cukup hiburkan penonton.

PERSEMBAHAN penuh bertenaga daripada kumpulan Elite berjaya memukau kira-kira 2,000 peminat yang hadir pada konsert Elite Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Memulakan konsert dengan lagu rancak La Diva, diikuti Bahaya dan Kau Siapa, sorakan peminat bergema seawal persembahan pertama sekali gus menandakan kerinduan mereka terhadap kumpulan ikonik era 90-an itu.

Sepanjang dua jam berlangsung, penonton bukan sahaja dihiburkan dengan lagu-lagu popular Elite, malah turut terhibur dengan gelagat lucu dan bersahaja lima anggotanya iaitu Abby Abadi, Linda Rafar, Watie Sadali, Sasha Saidin dan Azza Zawari.

Elite imbau kembali sejarah penyatuan kumpulannya.

Bagi Watie, momen istimewa itu cukup bermakna kerana ia bukan sahaja mengubat rindu peminat, tetapi turut menjadi peluang untuk kembali rapat bersama ahli kumpulan.

Dia turut mendedahkan rakannya iaitu Azza melakukan pengorbanan dengan berdiet semata-mata ingin kelihatan kurus di konsert berkenaan.

"Setiap orang sibuk dengan kehidupan dan perniagaan masing-masing jadi jarang dapat berkumpul. Disebabkan konsert ini boleh dikatakan setiap malam kami berjumpa selama tiga bulan dan sudah tentu kami sedih serta akan merindui antara satu sama lain selepas ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 30 tahun menanti, Elite nekad turun berat badan untuk konsert solo

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pekerja lari nampak suami Azza Elite, tergamak tinggalkan isteri di pasar raya elak bersemuka

"Azza dah kurus banyak untuk konsert ini, dia tak makan sampai nak mengamuk. Sudah tiga minggu dia makan telur. Nak kurus untuk peminat," katanya semasa berada di atas pentas.

Lebih menarik, konsert ini bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah menjadi platform buat ahli kumpulan Elite berkongsi kisah awal penyatuan mereka sekitar tahun 1995 sebagai kumpulan ikonik yang pernah mencetuskan fenomena.

Menurut Sasha dan Azza, mereka melalui proses uji bakat untuk menyertai kumpulan tersebut, manakala Linda Rafar pula dipilih berdasarkan bakat lakonannya yang menyerlah pada ketika itu.

Sudah tiga minggu dia makan telur.

WATIE 

PENYANYI

Watie Sadali pula mencuri perhatian kerana kemahiran menari dan Abby pula kerana kesungguhan yang ditunjukkan dalam pelbagai pertandingan serta kerjaya sebagai model.

Konsert Elite Live In Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi medan reunion buat kumpulan Elite, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis yang pernah mencipta nama pada era yang sama.

Malam penuh nostalgia itu menyaksikan kumpulan Alpha turut membuat kemunculan istimewa dengan berduet bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga, selain mempersembahkan lagu popular mereka sendiri seperti Monalisa dan P. Ramlee & Saloma.

Tidak cukup dengan itu, pentas turut ‘meletup’ apabila kumpulan X-Factor tampil mengejutkan penonton dengan dua lagu Bertuah dan 725 1364.

Alpha hadir meriahkan suasana.

Keseluruhannya, lebih 20 buah lagu dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung termasuk lagu-lagu popular seperti Sesuatu Di Dalam Dirimu, Dua Hati, Bila Lagi, Catwalk, Alhamdulillah, dan Mengerti.

Sebagai kemuncak malam, Elite menutup tirai konsert dengan seleksi lagu yang paling dinanti-nantikan peminat seperti G.I.G,Trauma, Tamparan Wanita, dan Manis Senyumanmu sekali gus mengembalikan memori indah zaman kegemilangan mereka.

Bukan hanya peminat, rakan artis seperti Zain Saidin, Nurkhiriah, Erysha Emyra, Kak KM, Zed Zaidi dan Datuk Seri Vida turut hadir memberikan sokongan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain