suria

Usia bukan penghalang, Nasuha Sulaiman tawakal terjun bidang seni

Nasuha yakin bidang lakonan adalah kerjaya terbaik buatnya.

MEMULAKAN kerjaya lakonan pada usia 29 tahun, aktres Nasuha Sulaiman tidak melihat ia bukan satu penghalang untuk dia mencuba sesuatu yang baharu. 

Bagi Nasuha atau Wan Nasuha Wan Sulaiman, setiap rezeki yang datang adalah tepat pada waktunya. 

Biarpun kini ramai bakat muda, namun dia sentiasa percaya setiap usaha yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil. 

Nasuha mahu terus serius berlakon. 

"Saya tawakal sahaja masuk ke dunia lakonan. Saya tahu jika kita berusaha kuat pasti akan menampakkan hasil. 

"Memang agak terlambat, sekarang ini ramai rakan-rakan pelakon yang lebih muda. Tidak dinafikan pada usia sekarang saya baru ada keinginan untuk cuba berlakon. Saya akan cuba yang terbaik dan peluang yang datang tepat pada waktu," katanya. 

Tambah Nasuha dia seperti menemui kehidupan baharu apabila mula merasai pengalaman berlakon di  set penggambaran drama Thariq Ridzuwan: His Treasure sebelum ini. 

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta program realiti didakwa hutang RM3,600, tipu transaksi 

ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa tak tahu bila Ardell Aryana pulang ke tanah air

Sepanjang menjalani penggambaran, dia juga sanggup menolak beberapa tawaran lain kerana bimbang hasil lakonan kurang memuaskan. 

"Pada awalnya ada juga rasa ragu dalam diri. Saya tolak beberapa tawaran berlakon kerana mahu melihat hasil kerja dahulu. 

"Jika hasil memuaskan saya akan terus berlakon. Namun jika sebaliknya akan akan teruskan kerjaya sebagai content creator," ujarnya. 

Dia yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pereka hiasan dalaman nekad untuk meninggalkan bidang tersebut kerana merasakan ia tidak bersesuaian. 

Kemunculan pertama Nasuha mendapat pujian. 

Menjadi seorang anak seni, Nasuha juga yakin dia mampu memberi komitmen dan berjanji tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

"Saya pernah kerja dalam dunia korporat. Saya telah hadap pelbagai cabaran dan sebab itu yakin boleh beri komitmen terbaik terhadap kerjaya seni. 

"Selepas berhenti kerja lima tahun lalu, saya aktif sebagai content creator. Sekarang saya mahu luaskan bakat ke dunia lakonan," jelasnya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain