LAPORAN 'SeaAsia Stats' merekodkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
Lebih membanggakan Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin,46, masih mengekalkan takhtanya sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah sehingga kini.
Malah, kecemerlangannya dalam industri seni muzik itu pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 selain berada di tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dari seluruh dunia yang menerima anugerah paling banyak.
Siti tersenarai dalam Legenda Muzik Asia Tenggara.
Bukan hanya itu, Siti juga menerima pengiktirafan Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Selain itu, beliau juga terus aktif menghasilkan karya baharu termasuk kolaborasi bersama penyanyi tempatan dan antarabangsa di samping aktif dalam perniagaan dan kerja amal.
Kehebatan Siti meletakkan namanya sebaris dengan beberapa artis luar negara lain yang turut diiktiraf sebagai legenda muzik serantau.
ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan pernah takut untuk bermimpi besar” - Siti Nurhaliza terima Anugerah Sri Wirama AIM24
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza jawab dakwaan ‘rosak’ di TikTok, hanya mahu ceriakan peminat
Di Indonesia, Iwan Fals diangkat sebagai ikon lagu protes yang menjadi suara rakyat sejak era 80-an manakala penyanyi Filipina, Regine Velasquez digelar 'Asia’s Songbird' yang terkenal dengan vokal luar biasanya.
Di Singapura pula Stefanie Sun mencatat kejayaan apabila berjaya menjual lebih 30 juta album di seluruh Asia manakala Thailand pula menjadi milik Bird Thongchai selepas diumumkan sebagai artis paling laris di negara itu dengan rekod jualan lebih 20 juta unit.
Siti seiring dengan nama-nama luar negara.
Sementara itu, nama Mỹ Linh dari Vietnam pula tidak asing sebagai pelopor genre RnB dan soul di negaranya manakala May Sweet dari Myanmar kekal sebagai ikon muzik dengan kerjaya melebihi empat dekad.
Di Laos, Alexandra Bounxouei dikenali sebagai bintang pop moden pertama yang menggabungkan muzik tradisional dan kontemporari.
Maria Aires dari Brunei pula menjadi pelopor genre pop-R&B dan berjaya meletakkan nama negara di pentas serantau manakala Preap Sovath dari Kemboja diangkat sebagai ikon pop tersohor selepas kejayaannya menjadi juri The Voice Cambodia.