suria

Siti Nurhaliza terkejut diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara, kerja keras dalam industri bukan semata-mata kejar anugerah

Siti luah rasa terharu dan syukur dengan penghargaan diberi.

BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyangka apabila namanya direkodkan oleh SeaAsia Stats sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara pada Sabtu.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata dia terkejut menerima pengiktirafan tersebut namun bersyukur atas penghargaan diberikan. 

“Alhamdulillah, terima kasih saya pun tak fikir fasal ini kerana sibuk dengan aktiviti dan kerja yang perlu diselesaikan. 

Siti turut tersenarai dengan beberapa artis luar negara.

“Kalau ada pihak-pihak yang hargai saya  bersyukur dan selama ini saya bekerja pun atas sebab cinta dan minat kepada muzik.

“Setiap orang boleh melakukan yang terbaik dalam diri mereka dan sumbangan kepada negara. Jadikan ini sebagai suntikan semangat,” katanya kepada mStar. 

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa yang diadakan di Grand Pickleball Arena, Subang Jaya pada Ahad. 

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kekal penyanyi nombor 1 Malaysia, diangkat Legenda Muzik Asia Tenggara

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan pernah takut untuk bermimpi besar” - Siti Nurhaliza terima Anugerah Sri Wirama AIM24

Dalam pada itu, Siti turut memberitahu kerja kerasnya selama ini bukan dilakukan semata-mata mengharapkan penghargaan anugerah, sebaliknya dibuat kerana rasa cinta terhadap kerjaya seni. 

“Saya menang anugerah atau tidak, saya akan lakukan sebaiknya termasuk dalam penghasilan album, persembahan pentas atau konsert. Saya akan berikan yang terbaik.

“Saya buat ini pun bukan semata-mata untuk mendapat anugerah tetapi atas kecintaan saya terhadap seni. 

Siti akui cinta terhadap kerjaya seni amat tinggi.

“Saya sudah dalam fasa memberi semula kepada masyarakat dalam apa saja yang saya lakukan,” ujarnya. 

Sebelum ini, laporan 'SeaAsia Stats' merekodkan Siti sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni. 

Lebih membanggakan Siti masih mengekalkan takhtanya sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah sehingga kini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain