PELAKON dan penyanyi Eira Syazira menafikan dakwaan anak sulungnya iaitu Amarra Sofea Rose terlibat dengan gejala buli di sekolah.
Eira atau Syazira Sarimah Sakinah Almera Suhaimi, 41, berkata, dia dan suami yang juga penyampai radio, Azad Jasmin tidak terkesan apabila terdapat netizen mengaitkan nama mereka kerana perkara itu sama sekali tidak benar.
“Saya dan suami abaikan sahaja kerana tahu itu bukan anak kami. Saya baca komen-komen tapi nak buat macam mana. Saya hanya tersenyum kerana tak boleh buat apa-apa.
Eira anggap tuduhan dilemparkan sebagai fitnah.
“Sebenarnya saya okay sahaja bila dikaitkan dengan perkara itu, saya tak baca dan balas komen netizen di media sosial sebab itu bukan Amarra,” katanya kepada mStar.
Eira berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu Bawang Putih Bawang Merah yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada Isnin.
Dalam pada itu, Eira memberitahu dia ada bertanya kepada anaknya mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan sebelum ini.
Eira menjelaskan dakwaan yang mengaitkan anak seorang penyampai radio mengejek warna kulit pelajar hingga mengaitkan nama anaknya sama sekali tidak masuk akal.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar dibuli anak penyampai radio popular, pelaku suka ejek warna kulit... “Budak itu berlagak diva sebab mak ayah dia artis”
ARTIKEL BERKAITAN: Anak penyampai radio terkenal diberi amaran kerana membuli, hanya ibu pelaku saja tampil mohon maaf melalui pihak sekolah
Katanya, Ammara sendiri mempunyai tona kulit yang sama.
“Dalam gosip tersebut mengatakan pembuli mengejek warna kulit mangsa sedangkan anak saya kata warna kulit dia pun gelap. Anak kata kenapa dia nak ejek orang itu.
“Saya ada tanya anak saya, sama ada dia tahu orang bercakap mengenai gosip itu termasuk dikatakan mengasari mangsa, tapi anak saya tak buat semua itu,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang wanita dikenali sebagai Siti meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah yang didakwa dilakukan oleh anak kepada seorang penyampai radio terkenal.
Eira tak baca mahupun balas komen netizen di media sosial.
Menurut Siti, kejadian tersebut dipercayai bermulai sejak Julai tahun lalu dan semakin serius sehingga menjejaskan kesihatan mental dan emosi anaknya.
Susulan pendedahan yang dibuat kepada mStar, Siti memaklumkan ibu pelaku yang juga isteri kepada penyampai radio terkenal akhirnya tampil memohon maaf.
Namun menurut Siti, permohonan maaf itu tidak dibuat secara bersemuka sebaliknya disampaikan melalui pihak sekolah selepas dia mengemukakan bahan bukti berhubung kejadian tersebut.
Difahamkan, lima pelajar yang terbabit dalam kes buli itu termasuk anak penyampai radio berkenaan hanya dikenakan tindakan amaran oleh pihak sekolah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube