AHLI perniagaan Datuk Haris Embong meluahkan rasa kecewa apabila pelakon Rafidah Ibrahim masih gagal menjelaskan bayaran ganti rugi seperti yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi berhubung kes fitnah terhadap dirinya dan syarikat, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Menurut Haris, 48, sehingga kini tiada sebarang usaha atau bayaran dibuat oleh Rafidah, meskipun keputusan kes telah dimuktamadkan sejak tahun lalu.
"Sejak kes selesai tahun lalu memang dia tiada jumpa atau hubungi saya.
Haris sedia ambil tindakan selanjutnya jika Rafidah enggan beri kerjasama.
"Satu sen pun tak bayar lagi daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang sudah diperintahkan daripada mahkamah," katanya ketika dihubungi mStar pada petang Isnin.
Berkongsi lanjut, Haris berkata tiada lagi ruang buat Rafidah sekiranya dia mahu mencari jalan penyelesaian.
Malah, Haris memberitahu dia akan menunggu sehingga Khamis ini bagi memberi peluang terakhir kepada Rafidah untuk memberikan maklum balas.
Jika tiada sebarang tindakan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Rafidah Ibrahim diberi 7 hari bayar ganti rugi RM281,200
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas majikan sedia maafkan, terbuka bersemuka dengan Fida Ibrahim
"Cukuplah saya beri dia peluang sebelum ini tapi dia tetap endahkan.
"Khamis ini penentu sama ada dia akan beri maklum balas notis yang peguam saya sudah serahkan ataupun tidak.
"Jika dia kekal berdegil, saya akan ikut saranan peguam untuk hantar notis bankrap pula," jelasnya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan Rafidah bersalah memfitnah Haris dan syarikatnya menerusi satu hantaran di media sosial pada tahun 2021.
Sejak kes selesai tahun lalu memang dia tiada jumpa atau hubungi saya.
DATUK HARIS EMBONG
AHLI PERNIAGAAN
Ketika itu Rafidah mendakwa syarikat milik Haris enggan membayar hasil kerjanya selepas diberhentikan.
Dalam keputusan pada 31 Julai 2024, mahkamah mengarahkan Rafidah membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 yang merangkumi RM100,000 kepada Haris secara peribadi, RM150,000 kepada syarikat, kos perbicaraan RM30,000 dan yuran peruntukan RM1,200.
Malah tuntutan balas Rafidah turut ditolak sepenuhnya.
Susulan itu, satu notis rasmi telah dihantar oleh firma guaman Izral Partnership yang mewakili Haris kepada peguam Rafidah pada 19 September lalu, menuntut bayaran dibuat dalam tempoh tujuh hari.
Mahkamah perintah Rafidah untuk bayar RM281,200 kepada Haris.
Namun, menurut Haris, sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak pelakon itu.
Dalam kenyataan sebelum ini, Haris menegaskan tuntutan tersebut bukan sekadar soal wang ringgit, tetapi lebih kepada membersihkan namanya serta syarikat daripada fitnah yang menjejaskan reputasi mereka sebagai pengusaha dalam industri perniagaan.
Mahkamah juga telah mengeluarkan perintah injunksi menghalang Rafidah daripada mengulangi sebarang kenyataan fitnah terhadap Haris dan Arisprop Holdings.
Setakat ini, pihak Rafidah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkembangan terbaharu ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube