PELAKON dan pengacara, Zoey Rahman mengingatkan golongan lelaki supaya tidak mengenakan seluar ketat demi mengikut trend fesyen semasa.
Zoey berkata, ramai lelaki tidak mengetahui risiko memakai seluar ketat atau 'cutting slim fit' yang boleh membahayakan alat sulit.
“Sebagai selebriti saya sendiri tidak terlepas mengikut trend fesyen semasa. Cuma saya jarang memakai seluar ketat demi keselesaan dan kesihatan alat sulit.
“Melihat trend fesyen sekarang ini saya agak risau apabila terdapat sesetengah lelaki yang gemar memakai seluar ketat kerana tanpa sedar boleh membahayakan alat sulit mereka," katanya.
Menurut Zoey, sebagai selebriti sudah menjadi tanggungjawabnya menyebarkan info atau ilmu bermanfaat kepada masyarakat.
“Walaupun saya bukan doktor, tetapi saya sering mengikuti perkongsian ilmu kesihatan daripada para doktor dalam acara kesihatan atau media sosial.
Zoey (kanan) dan Dr Afif mengingatkan kaum lelaki supaya tidak mengenakan seluar ketat.
“Memakai seluar ketat sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada alat sulit lelaki. Misalnya ia boleh meningkatkan suhu kawasan testis, merosakkan saraf dan salur darah, serta menyebabkan masalah kulit dan jangkitan,” katanya.
Sementara itu, doktor perubatan dan penceramah kesihatan yang berpengalaman dalam penyakit tuan, Dr Afif Mohd Ridzwan berkata pelbagai risiko boleh berlaku terhadap alat sulit lelaki yang suka memakai seluar ketat.
“Suhu badan kita sekitar 37 darjah Celsius manakala suhu testis pula memerlukan sekitar 35 darjah Celsius.
"Kalau pakai seluar ketat sehingga menyebabkan testis rapat dengan badan, ia boleh menyebabkan suhunya sama dengan suhu tubuh. Itu bahaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Enggan layan tuduhan buat pembedahan muka, Zoey Rahman biar netizen nilai sendiri... “Kecaman tak akan pernah habis”
ARTIKEL BERKAITAN: Fizie Roslan tak malu kongsi menderita buasir, sakit seperti disula dengan kayu
“Risikonya air mani atau sperma lelaki jadi kurang subur dan boleh menyebabkan kemandulan.
"Bukan itu sahaja, pemakaian seluar yang terlalu ketat boleh memberi tekanan pada saraf dan salur darah pada zakar yang boleh menyebabkan kerosakkan jangka panjang,” katanya menerusi akaun TikTok.
Dalam masa sama, Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain mengingatkan kepada kaum lelaki supaya mementingkan penjagaan alat sulit sebelum terlambat.
“Nasihat saya, apabila hendak tidur jangan pakai seluar ketat. Pakai kain sarung lebih bagus. Kalau nak pakai seluar dalam ketat di siang hari, boleh saja kerana hanya sementara.
Dr Afif menggalakkan kaum lelaki memakai boxer berbanding seluar dalam yang ketat.
"Jangan pakai terlalu lama, sebaliknya biar ada pengudaraan, peluh pun jadi kering. Langkah ini dapat cegah daripada sebarang penyakit, tapi sebalik-baik pakailah seluar longgar atau boxer.
"Boxer ini banyak kebaikannya. Antaranya adalah pengudaraan cukup dan testis tidak ditekan. Salur darah pun berjalan lancar.
"Apabila kita sering menjaga kesihatan alat sulit kita, insya Allah dalaman pun sihat,” tambahnya lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!