BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil memberikan pandangan peribadi berhubung komen penyanyi Atilia Haron yang mempersoalkan kemenangan penyanyi bernada tinggi di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) baru-baru ini.
Menurut Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, setiap penyanyi memiliki keunikan tersendiri dan pemilihan pemenang dibuat berdasarkan penilaian profesional para juri mengikut kriteria yang ditentukan.
Bagi Siti, kesemua calon yang berjaya ke peringkat akhir mempunyai peluang yang sama untuk merangkul anugerah, namun keputusan akhir bergantung kepada rezeki dan ketetapan pilihan juri.
Siti menerima pengiktirafan Anugerah Sri Wirama AIM24.
"Kita jangan jadikan isu ini untuk mempertikaikan mana-mana pihak. Bagi saya, setiap orang ada suara tersendiri, keunukan dan ditentukan rezeki masing-masing sewaktu juri membuat penilaian.
"Setiap tahun ada juri yang berbeza, jadi setiap juri sudah sepakat untuk memilih pemenang. Mungkin tahun ini kriterianya mengikut apa yang mereka mahukan.
"Mana yang sudah tercalon di peringkat akhir semua ada peluang untuk menang. Semua calon sudah terbaik. Cuma rezeki siapa jadi juara mengikut pilihan juri pada ketika itu," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Nurhaliza terkejut diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara, kerja keras dalam industri bukan semata-mata kejar anugerah
ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan pernah takut untuk bermimpi besar” - Siti Nurhaliza terima Anugerah Sri Wirama AIM24
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa yang diadakan di Grand Pickleball Arena, Subang Jaya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Siti turut berkongsi pengalamannya yang sudah berpuluh tahun menyertai AIM dan memahami selok-belok sistem penjurian yang dilaksanakan.
"Saya sudah merasai pengalaman AIM selama berpuluh tahun, saya sudah faham sangat. Cara penjurian juga saya sudah tahu.
Bagi saya setiap orang ada suara tersendiri, keunikan dan ditentukan rezeki masing-masing.
DATUK SERI SITI NURHALIZA
BIDUANITA NEGARA
"Memang tahun ini saya tak rasa saya dapat (anugerah), saya tahu penilaian juri ada cara berbeza setiap tahun.
"Saya percaya setiap pemenang di AIM memang selayaknya dan tidak perlu dipertikai," ujarnya.
Dalam masa sama, Siti turut menyentuh tentang perubahan ketara menerusi kategori etnik kreatif tahun ini yang lebih memberi penekanan terhadap penggunaan dialek tempatan dalam karya.
"Baru-baru ini saya pun nampak perubahan daripada segi kategori etnik kreatif. Ia lebih kepada nyanyian dialek seperti lagu 'Bea Soba Bea'.
"Akan datang kalau saya nak masuk kategori etnik kreatif, saya nak pastikan ada dialek-dialek dalam lagu.
Siti mahu peminat meraikan semua pemenang di AIM24.
"Kalau kategori tradisional mungkin juri mahu karya yang benar-benar asli tradisional. Jangan ada muzik moden," katanya.
Sebelum ini, isu kriteria kemenangan penyanyi di AIM24 kembali menjadi bualan hangat selepas Atilia memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan tona suara.
Pun begitu, hantaran tersebut sudah pun dipadamkan selepas mencetuskan pendebatan di media sosial.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube