HAMPIR dua dekad menyepi daripada dunia hiburan, kumpulan popular era 90-an, X-Factor membuat kejutan apabila muncul di konsert Elite Live In Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Kemunculan semula itu disambut dengan sorakan gemuruh dan mengundang nostalgia peminat yang tidak menyangka mereka akan kembali bersatu di atas pentas.
Menurut salah seorang anggotanya, Shah atau nama sebenarnya Irwan Shah Azhar, 47, mereka sebenarnya sudah lama tidak berhubung hampir 17 tahun, namun berjaya kembali bersatu dalam tempoh sebulan sebelum konsert berlangsung.
X-Factor kongsi kembali detik pertemuan mereka.
“Kami memang lama tak berhubung kira-kira 17 tahun. Tapi sebulan lalu saya dan Jim mula cari semula semua ahli, ambil masa juga sebab masing-masing dah bawa haluan sendiri,” katanya kepada mStar.
Tambah Shah, proses menyatukan semula ahli kumpulan bukan sesuatu yang mudah kerana masing-masing kini mempunyai komitmen kerja dan keluarga.
Difahamkan Fendi kini bekerja di sebuah syarikat perbankan manakala Shah pula merupakan jurulatih gimnasium.
Jim bekerja dalam sektor kewangan dan Danny memandu Grab sebagai sumber rezeki, sementara Zach kini bergelar bapa suri rumah tangga sepenuh masa.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Danny X-Factor masih buat e-hailing, gigih bangun kerja pukul 4 pagi... Tak mahu meminta duit isteri
ARTIKEL BERKAITAN: Danny X-Factor turun 15kg dalam tempoh empat bulan, diet tanpa produk kurus selepas ditegur peminat
"Ada yang kerja, ada yang dah berhijrah ke luar negara. Tambah pula dulu tak ada WhatsApp Group macam sekarang. Tapi bila dah jumpa balik, rasa macam tak percaya,” katanya lagi.
Berkongsi kisah menarik di sebalik pencarian ahli kumpulan, Shah mengakui paling sukar untuk menghubungi Zach atau nama sebenarnya Zachery Francis Ubu.
“Dia langsung tak ada media sosial. Saya sampai cari melalui kawan-kawan di Facebook malah tanya tentera dan polis sebab saya tahu isteri dia askar dan abang dia polis," ujarnya.
Sementara itu, Zach memaklumkan mereka semua bertemu seminggu sebelum konsert.
Macam terimbau balik zaman kegemilangan 25 tahun lalu.
ZACH
KUMPULAN X-FACTOR
Katanya kesemua ahli setuju untuk berjumpa kerana ingin memberi kenangan indah kepada anak-anak dan isteri selain teruja mendengar jeritan peminat.
“Bila jumpa semula rasa macam program Jejak Kasih. Masing-masing pandang sesama sendiri, rasa teruja sangat.
“Lagi-lagi bila naik pentas dan dengar sorakan peminat, meremang bulu roma. Macam terimbau balik zaman kegemilangan 25 tahun lalu,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi anggota, Danny atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa, 45, menegaskan bahawa mereka sebenarnya tidak pernah berpecah seperti yang disangka sesetengah pihak.
X-Factor janji bakal lakukan kemuculan semula.
“Kami tak pernah gaduh pun. Tak pernah bubar. Cuma masing-masing bawa haluan sendiri.
“Untuk konsert ini, saya ada cuba hubungi Ivan tapi dia sudah undur diri daripada nyanyian. Dia sekarang uruskan perniagaan di Pulau Pinang, jadi tak dapat sertai kami,” katanya.
Untuk makluman, kumpulan X-Factor mula bergiat aktif dalam industri hiburan sekitar tahun 1999 hingga 2009 di bawah naungan syarikat rakaman KRU Records.
Mereka cukup dikenali menerusi beberapa lagu hit seperti 725 1364, Sehangat Api, Tak Sanggup, dan Masih Mencari.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube