suria

[V] Kontroversi ‘Old Love’ di AIM 24, Ernie Zakri bertanding ikut kriteria ditetapkan

PENYANYI Ernie Zakri enggan memanjangkan isu kontroversi berhubung kenyataan Yuji yang mempersoalkan kekalahan lagu nyanyiannya, Old Love kepada lagu Masing-Masing di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) pada 13 September lalu. 

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, dia yakin pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur AIM 24 telah menjalankan tanggungjawab dengan adil dan telus berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Kata Ernie, dia memilih untuk menghormati keputusan yang telah dibuat dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

"Saya yakin dan pasti pihak RIM sudah buat yang terbaik serta meneliti segala pencalonan. Bukan ada 50 lagu saja, tetapi ramai rakan artis turut menghantar pencalonan. 

Ernie bertanding hanya mengikut terma dan syarat ditetapkan.

"Saya hormati keputusan yang diberikan dan tiada sebarang komen tentang perkara ini. Pihak RIM tahu apa yang terbaik dan penjelasan sudah pun dibuat. 

“Kita sebagai artis pun belajar, sekarang kita buat lagu bukan sekadar buat. Kita kena tahu fakta dan sebagainya. Saya belajar dan mungkin selepas ini Yuji juga belajar," katanya kepada mStar.

Ernie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa yang diadakan di Grand Pickleball Arena, Subang Jaya pada Ahad. 

Menurut Ernie, terdapat terma dan syarat penyertaan AIM yang perlu dipatuhi, malah ada di antara lagu nyanyiannya juga tidak layak dicalonkan kerana faktor teknikal seperti hak cipta komposer luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ade Govinda tak sangka jadi pilihan artis tempatan, terharu karya diterima peminat Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan pemenang AIM 24 dipertikai, Siti Nurhaliza anggap setiap penyanyi ada keunikan suara tersendiri

"Sejujurnya saya juga ada baca tentang perkara ini, tetapi seperti mana yang dijawab oleh pihak RIM terdapat beberapa kriteria diambil kira. 

"Berkemungkinan lagu itu tidak menepati kriteria yang diberikan. Ada juga lagu saya yang tidak dapat dicalonkan kerana tidak kena dengan terma dan syarat penyertaan. 

"Contohnya album saya sendiri tidak dapat dicalonkan kerana ada antaranya produk dari Indonesia. Jadi saya bertanding mengikut apa yang mampu diberikan sahaja mengikut kelayakan," katanya. 

Pihak RIM tahu apa yang terbaik dan penjelasan sudah pun dibuat. 

ERNIE ZAKRI

PENYANYI

 

Kemenangan Masing-Masing dipertikai bagi kategori Lagu Paling Tinggi Distrim.

Sebelum ini, Yuji dan abang kepada Putri Dahlia iaitu Iman Syakir meluahkan rasa tidak puas hati apabila lagu "Old Love" diketepikan di AIM24 walaupun mencatat jumlah strim yang tinggi.

Bagaimanapun, semakan menunjukkan lagu "Masing-Masing" sebenarnya meraih lebih 200 juta strim di Spotify dan lebih 620 juta strim keseluruhan sekali gus mengesahkan kemenangannya dalam kategori Lagu Paling Tinggi Distrim dan juga Kolaborasi Terbaik bersama Artis atau Komposer Luar Negara.

Susulan itu, RIM menjelaskan bahawa semua kategori teknikal dinilai berdasarkan data rasmi penstriman bukan secara rambang. 

Lagu "Old Love" tidak layak tersenarai dalam Carta Domestik RIM kerana isu teknikal membabitkan pendaftaran ISRC (International Standard Recording Code).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain