MEMILIKI nama besar di Terengganu, kumpulan muzik Lot 17 kini melebarkan sayap ke tahap lebih tinggi dengan melancarkan single sulung berjudul Mencari Sinar.
Ia merupakan satu usaha untuk menembusi pasaran arus perdana industri muzik tanah air yang selama ini belum pernah diterokai.
Single bergenre pop balada berinspirasikan era 90-an itu menandakan titik permulaan baru buat tujuh ahli kumpulan yang selama ini lebih dikenali sebagai kombo rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Tuan E-zat pernah menjadi naib juara Bintang Klasik RTM 2014.
Dibangunkan oleh vokalis Tuan E-zat (naib juara Bintang Klasik RTM 2014) serta dibarisi pemuzik lain iaitu Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (bass), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard), serta Armadd (biola), Lot 17 tampil dengan identiti tersendiri yang mengangkat elemen moden dan klasik.
Menurut Tuan E-zat, walaupun Lot 17 sudah biasa menerima undangan dan dikenali di Terengganu, namun cabaran sebenar adalah menembusi pasaran mainstream yang lebih kompetitif dan luas.
“Dulu kami lebih banyak buat persembahan di acara rasmi dan di belakang tabir.
ARTIKEL BERKAITAN:Barbarik buat konsert bukan sebab duit, tiada perancangan tambah hari kedua
ARTIKEL BERKAITAN: 4U2C buat ‘comeback’ hiburkan peminat, imbau kenangan kumpulan pertama menyanyi sambil menari di pentas
"Kali ini, kami mahu muncul di pentas besar dengan single ini,” katanya kepada mStar.
Lagu tulisan RossBai dan melodi Jatt Aziz itu disusun serta diterbitkan oleh komposer Zul 2by2.
Ditanya mengenai lagu Mencari Sinar, Zul berkata, dia mahu membangkitkan kembali nostalgia era kegemilangan muzik 90-an.
“Saya terpikat dengan vokal Tuan E-zat yang punya rasa klasik dan dekat di hati pendengar.
Zul percaya dengan bakat Lot 17.
"Ini jadi inspirasi untuk saya hasilkan susunan muzik yang mudah diterima namun masih berbeza dan unik,” jelasnya.
Melalui lagu Mencari Sinar, Lot 17 ingin membuktikan kumpulan yang berasal dari akar budaya tempatan mampu mencipta nama di pentas utama industri muzik negara.
Mereka bukan sekadar wakil Terengganu, tetapi lambang harapan baru untuk muzik tanah air yang semakin kaya dengan kelainan dan identiti tersendiri.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube