suria

Penyampai radio Ikim FM tegaskan tiada media sosial, maruah tercalar susulan foto seksi tular... Berang akaun palsu sembang lucah dengan pengikut

Foto AI (kiri) telah memberi kesan buruk pada mental Siti.

PENYAMPAI radio Ikim FM, Siti Rohani Surani kesal apabila identitinya sering disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak lebih 14 tahun lalu.

Siti menegaskan dia tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi melainkan satu akaun Facebook rasmi yang dikawal sepenuhnya oleh pihak Ikim FM.

“Ini tahun ke-20 saya bersama Ikim FM. Saya tiada satu akaun media sosial pun. Hanya Facebook yang dibuat oleh Ikim dan dikawal oleh pihak pengurusan.

Siti tiada media sosial peribadi.

"Media sosial yang ada sekarang semua akaun palsu dan mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI) hingga ubah supaya nampak seperti saya,” katanya ketika dihubungi mStar pada petang Jumaat.

Lebih memburukkan keadaan, kata Siti akaun palsu tersebut bukan sahaja menggunakan identitinya tanpa kebenaran malah turut berkomunikasi dengan pengikut menggunakan bahasa lucah.

Jelas Siti , perkara ini telah mencalarkan maruahnya dan memberi kesan mendalam kepada dirinya secara emosi dan mental.

“Mereka gunakan identiti saya dan bersembang benda lucah dengan tetamu serta klien Ikim. 

ARTIKEL BERKAITAN: Foto pakai kasut dalam rumah suntingan AI, Jatt Ali dituduh kurang ajar... Sharifah Shahirah rasa kelakar ada netizen percaya

ARTIKEL BERKAITAN: Tersebar video AI papar aksi tak senonoh, Twice bakal ambil tindakan tegas

"Sehingga mereka ingat saya yang hantar mesej lucah itu hingga dipandang negatif bila kami kembali bersemuka. Terpaksalah saya tanya dan jelaskan perkara sebenar.

“Maruah saya sangat tercalar, rasa geram, malu dan tertekan bila perkara ini berlaku pada saya,” jelasnya.

Sementara itu, Siti berharap agar kes ini mendapat perhatian pihak berkuasa dan dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya harap semua mendoakan kes ini diselesaikan dengan segera. Ramai-ramai buat laporan.

Antara foto AI yang dimuat naik di media sosial didakwa menyerupai Siti.

"Saya sudah serahkan kes saya ini kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan lakukan tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah foto memaparkan seorang wanita berpakaian mencolok mata ketika berada di gelanggang pickleball, disertai dengan hashtag yang mengaitkan nama Siti Rohani Surani yang dikenali sebagai penyampai radio Islamik.

Susulan itu, pihak Ikim FM telah mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan dengan akaun palsu tersebut.

Malah Siti juga mengambil tindakan dengan membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan siasatan dijalankan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain