suria

[V] "Mereka juga manusia" - Hariz Hamdan berjaya cipta keserasian, lakon adegan 'panas' dengan transgender

PELAKON Hariz Hamdan menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah membabitkan diri dalam drama kontroversi Pondan Ini yang mengetengahkan watak transgender sebagai teraju utama.

Hariz, 23, berkata dia tidak pernah membezakan golongan tersebut kerana percaya setiap manusia wajar dilayan sama rata tanpa mengira pilihan hidup mereka.

“Saya percaya semua manusia ada buat baik dan buruk. Saya tak menilai golongan itu (transgender) atau sesiapa sahaja. Bila ada yang tanya adakah saya okay berlakon dengan golongan transgender, saya tanya kenapa perlu tanya begitu?

Hariz seronok dengan pengalaman baru.

“Mereka juga manusia sama macam kita asalkan hati baik dan tak kacau orang, itu tiada masalah,” katanya kepada mStar.

Berkongsi pengalaman, Hariz mengakui pada awalnya agak janggal namun perasaan itu hilang selepas lebih mengenali rakan pelakon transgender tersebut.

Jelasnya, dia juga tidak membayangkan pelakon transgender itu mengikut jantina sebaliknya menganggap sekadar rakan sekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Hariz Hamdan bukan lagi ‘pewaris Megah Holding’, cabar diri bawa watak komedi dalam ‘Sahak Gangster’

ARTIKEL BERKAITAN: Hariz Hamdan tiada pengalaman buruk di set penggambaran, sentiasa jaga sikap dan terima teguran artis senior

“Daripada segi keselesaan, saya tak kisah sama ada dia transgender atau apa sekalipun, yang penting dia juga manusia. Memang dalam cerita ada adegan panas, saya tak nafikan. Bila kali pertama buat, saya memang tak selesa.

“Tapi selepas ada keserasian, ia tak jadi masalah buat saya. Pengarah Amor Rizan juga banyak membantu kami terutama daripada sudut kamera.

“Bila saya berlakon dengan pelakon transgender saya tak bayangkan dia lelaki atau perempuan, tetapi sebagai rakan gandingan sahaja,” ujarnya.

Saya buat kajian tentang ubat-ubatan dan proses yang mereka lalui.

HARIZ HAMDAN

PELAKON

Tambah Hariz, dia turut membuat kajian terlebih dahulu bagi memahami lebih mendalam tentang dunia transgender sebelum menerima tawaran tersebut.

Malah dia berharap orang ramai dapat menerima mesej yang ingin disampaikan melalui karya penuh kontroversi itu.

“Ini cerita pertama saya berlakon bersama golongan transgender. Saya terima tawaran sebab skrip menarik dan ada pengajaran. Saya baca dulu sebab tak nak terima sembarangan.

Hariz anggap Pondan Ini karya penuh mesej.

“Saya harap mesej yang ingin disampaikan dapat diterima penonton. Sejujurnya, saya tiada keluarga atau saudara transgender, jadi pendedahan saya agak kurang sebelum ini.

“Namun saya buat kajian tentang ubat-ubatan dan proses yang mereka lalui. Ini membantu saya faham dan jayakan drama ini,” kongsinya.

Meskipun drama arahan Amor Rizan itu belum ditayangkan di aplikasi Karya Reels, sedutan awal sudah pun mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat sehingga ada yang mendakwa penerbit cuba menormalisasi budaya lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ).

Bagaimanapun, penerbitnya iaitu Erma Fatima menjelaskan pemilihan pelakon transgender sebenar dibuat bagi memberi gambaran lebih realistik selain berharap penonton melihat karya tersebut dari sudut positif.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain