suria

“Jangan main petik, bukan dia!” - Kak Ton nafi isteri Riezman Khuzaimi hantar sihir

Kak Ton tak kenal Riezman secara peribadi.

NAMA isteri kepada pelakon Riezman Khuzaimi iaitu Datuk Azie Sheikh Mohd menjadi bualan netizen selepas dikaitkan sebagai individu yang didakwa menghantar sihir kepada usahawan terkenal, Kak Ton.

Tampil menjernihkan keadaan, Kak Ton atau nama sebenarnya Dr Zaiton Hassan, 67, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas kerana tidak mengenali wanita berkenaan.

Jelas Kak Ton, dia hanya mengenali Riezman sebagai pelakon yang pernah dilihatnya di televisyen suatu ketika dahulu.

Kak Ton tidak pernah dedahkan nama pelaku.

"Bukan dia! Dia tiada kena mengena dengan saya. Kami tak pernah kenal.

"Saya cuma pernah tengok suami dia berlakon dalam drama dulu-dulu sebelum berniaga. Isteri dia lagilah saya tak pernah tahu kewujudannya," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Kak Ton, dia tidak pernah mendedahkan identiti individu yang dipercayai menghantar sihir kepadanya, termasuk kepada ahli keluarga mahupun anak-anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah lama tak nampak Kak Ton, rupanya bertahun ‘kurung’ dalam bilik gelap

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 8 tahun kurung diri, ini kali pertama Kak Ton datang ‘event’ ramai orang... Syukur makin sihat!

Kak Ton menjelaskan dakwaan yang tersebar di media sosial berpunca daripada spekulasi netizen yang terlalu ingin mengetahui siapa pelaku sebenar yang sanggup menghantar sihir kepadanya.

"Netizen sengaja tulis macam-macam sehingga timbul fitnah. Saya tak pernah sebut nama siapa-siapa hanya saya, Allah dan orang itu saja yang tahu.

"Saya selalu nasihat pada netizen agar tidak buruk sangka dengan sesiapa kerana saya tidak menyebut nama pelaku," ujarnya.

Dalam pada itu, Kak Ton berkata perkongsian mengenai penderitaan yang ditanggung akibat sihir adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan ilmu hitam dan bukan menuduh mana-mana individu.

Anak-anak pun tak tahu pelaku.

"Perkara macam ini tidak boleh main petik saja nama orang, itu berdosa. Saya berkongsi bukan buat niat nak tuduh sesiapa.

"Tapi untuk dijadikan pengajaran kepada orang ramai bahawa sihir itu ada dan berharap mereka sentiasa berjaga-jaga," tambahnya.

Sebelum ini, Riezman, 55, dalam sebuah temu bual bersama media menganggap tuduhan ke atas isterinya adalah sesuatu yang tidak berasas dan sekadar komen liar netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain