PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil memberikan pandangan berhubung isu pertikaian netizen terhadap selebriti wanita yang berjuang menyertai misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, tindakan mereka yang sanggup ke zon konflik adalah satu bentuk pengorbanan besar dan tidak sepatutnya dipersoalkan.
"Kerja jihad ini mempertaruhkan nyawa sendiri, kita tidak tak tahu mereka selamat atau tidak.
"Jadi kita di Malaysia doakan saja yang terbaik. Itu lebih afdal daripada kita pertikaikan tindakan mereka.
Siti mendoakan agar urusan jihad artis Malaysia ke Gaza dipermudahkan.
"Hanya Allah saja boleh lindungi mereka," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Siti menyifatkan mereka yang diberi peluang untuk membantu secara langsung berada dalam posisi yang sangat istimewa selain wajar diberi sokongan padu oleh rakyat Malaysia.
"Kita tak boleh pergi (berjihad) macam mana mereka berpeluang ke sana. Kita yang mampu ini pun kadang tidak boleh buat apa yang mereka lakukan.
"Kita doakan semua yang berjihad membantu saudara kita di Gaza dilindungi Allah daripada segala ancaman.
ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana kecewa, tampil bersuara isu artis sertai misi ke Gaza
ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahu bila balik, Zizi Kirana lupa dirinya penyanyi
"Semoga jihad mereka untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza Allah permudahkan," ujarnya.
Mengulas isu sesetengah pihak mempersoalkan keputusan kaum wanita yang memilih untuk menyertai misi kemanusiaan, Siti menegaskan setiap individu mempunyai perjuangan masing-masing dan keputusan untuk berjihad itu pastinya dibuat dengan pertimbangan keluarga.
"Setiap orang ada perjuangan sendiri, saya pasti perjuangan itu mesti dengan izin. Kalau suami mereka izinkan, saya rasa suami dan keluarga mereka lebih mengetahui.
"Kita mungkin tidak berada di tempat mereka, apa saja jihad kepada Allah untuk membantu saudara Muslim yang lain, kita serahkan kepada Allah sahaja.
Kerja jihad ini mempertaruhkan nyawa sendiri, kita tidak tak tahu mereka selamat atau tidak.
DATUK SERI SITI NURHALIZA
PENYANYI
"Kadang-kadang kalau kita cakap pun boleh jadi fitnah," jelasnya.
Sementara itu, penyanyi lagu Menamakanmu Cinta ini turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum individu yang tidak menunjukkan sokongan secara terbuka di media sosial.
Baginya, setiap orang punya cara tersendiri dalam menyumbang.
"Bagi saya kalau kita tahu perjuangan ini dan sama-sama dengan mereka (Palestin), insya-Allah kita boleh buat dengan cara tersendiri.
Siti berpendapat masing-masing mempunyai pendirian sendiri dalam setiap perjuangan mereka.
"Kita nak repost atau berdoa pun masing-masing punya cara. Tapi janganlah kita hukum orang yang tidak berkongsi di media sosial.
"Mungkin mereka berdoa diam-diam atau beri sumbangan wang kita tak tahu. Cuma sebagai umat Islam atas keprihatinan kita kena tunjukkan sokongan kepada kawan-kawan yang berjihad. Jangan berhenti bersuara walau dengan apa cara sekali pun," katanya.
Sebelum ini, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana antara selebriti yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama beberapa aktivis dari Malaysia sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean dengan puluhan kapal yang turut disertai oleh 44 negara lain.
Kata Zizi, dia tak dapat menyembunyikan rasa kecewa bila melihat ada pihak yang masih mempertikaikan peranan selebriti dalam misi kemanusiaan di Gaza.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube