PENYANYI Linda Rafar menegaskan tidak akan memaafkan individu yang mengeluarkan kata-kata celaan serta mengaibkan berhubung penampilannya di konsert Elite Live In Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Linda atau Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata, dia tidak akan melupakan penghinaan itu selagi mereka yang terlibat tidak memohon maaf secara peribadi.
Kata Linda, meskipun terbuka menerima kritikan membina, dia menyifatkan komen-komen bersifat hinaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Penampilan Linda di konsert Elite pada malam Sabtu menarik perhatian ramai.
"Dengan rasa rendah hati saya menerima semua kritikan positif tetapi saya tidak akan memaafkan mereka (netizen) yang bagi kata-kata celaan serta mengaibkan diri serta keluarga.
"Saya takkan maafkan anda sampai bila-bila selagi anda semua tidak maaf kepada saya sendiri.
"Linda sangat yakin Allah bagi ujian serta amaran pada umat yang Dia sayang. Segala yang buruk semua daripada Linda dan yang terbaik hanya pada Allah," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Linda Rafar ikut fesyen, baju tak terlalu seksi masih tutup aurat... Artis lain pun pakai style sama
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Elite penuh tenaga, peminat tak kering gusi lihat gelagat ‘mak-mak’ atas pentas
Dalam pada itu, Linda memberitahu penglibatannya di konsert berkenaan hanya sekadar untuk menghiburkan peminat yang sudah menantikan kemunculan semula kumpulan Elite selepas 25 tahun.
Linda turut memohon maaf sekiranya persembahannya tidak memenuhi jangkaan sesetengah pihak.
"Kemunculan semula ini untuk peminat Elite, jadi saya kena berikan yang terbaik sebagai penghibur. Tentang isu pakaian itu saya rasa okay saja, ada segelintir yang tidak suka itu hak mereka.
"Saya hargai kepada semua yang memberi nasihat tapi rata-rata peminat Elite memang beri sokongan, Alhamdulillah. Saya minta maaf sekiranya persembahan saya tidak sehebat yang anda inginkan. Saya sudah cuba buat yang terbaik.
Linda terima teguran positif secara terbuka.
"Saya rasa lega serta Alhamdulillah konsert ini sudah selesai dan saya boleh kembali ke rutin normal dan keluarga," ujarnya.
Sebelum ini, netizen menegur pemakaian anggota kumpulan Elite yang disifatkan tidak sesuai dengan usia dan imej sebagai wanita Muslimah.
Linda antara yang menerima kecaman hebat kerana membawa imej wanita bertudung dan dikaitkan dengan penglibatannya dalam acara-acara agama seperti majlis usrah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube